Fenomena anak muda penuhi masjid, petanda kebangkitan jiwa — Dr Zulkifli
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Fenomena anak muda memenuhi masjid untuk beribadah, khususnya pada waktu malam, disifatkan sebagai satu perkembangan positif yang menghidupkan jiwa dan memberi harapan kepada masa depan ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata situasi yang tular di media sosial itu bukan sekadar fenomena biasa, sebaliknya mencerminkan kebangkitan spiritual dalam kalangan generasi muda.
"Viral tapi kali ini bukan perkara sia-sia. Viral yang menghidupkan jiwa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, anak-anak muda kini dilihat memenuhi masjid untuk beriktikaf dan menunaikan qiyamullail, khususnya dalam usaha mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Katanya, di sekitar Lembah Klang termasuk di Masjid TNB, saf jemaah dilaporkan penuh dengan kehadiran golongan muda yang ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT.
"Zikir yang damai dialunkan oleh imam, menusuk sayup ke dalam jiwa," ujarnya.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda lahirnya generasi yang kembali kepada fitrah dan mempunyai kesedaran terhadap nilai keagamaan.
"Inilah generasi yang kita harapkan. Bukan hilang arah tetapi yang kembali kepada fitrah dan merasa berTuhan," katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyemarakkan suasana ibadah tersebut.
"Tahniah buat semua. Salute!" katanya lagi.




Comments