top of page

Rakyat berhemat, fikir kesan kenaikan minyak jika perang Asia Barat berpanjangan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan sedang menyemak secara rapi perkembangan harga minyak mentah di Timur Tengah susulan ketegangan geopolitik yang berpotensi mengganggu bekalan petroleum global.


Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin (gambar) berkata, tindakan Kerajaan MADANI itu membuktikan risiko yang sedang dihadapi dalam konflik Asia Barat adalah realiti sebenar dan bukannya kebimbangan bersifat khayalan.


"Jadi apa yang patut kita buat sebagai rakyat Malaysia? Pertama, faham bahawa subsidi (minyak) yang kita nikmati pada hari ini sangat bernilai. Kedua, jangan ambil mudah amaran ekonomi global.


"(Yang) ketiga bersedia daripada sudut perbelanjaan keluarga kerana jika krisis berpanjangan, tekanan kos hidup boleh berubah dengan cepat.


"RM1.99 (kadar RON95) pada hari ini bukan jaminan untuk esok, ia adalah ruang bernafas yang kerajaan sedang pertahankan untuk rakyat Malaysia, tetapi kalau perang berlanjutan dan harga minyak terus meningkat, ruang ini akan semakin sempit dan menipis," katanya.


Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, demikian dalam satu siaran video mengulas mengenai konflik di Timur Tengah serta implikasinya terhadap Malaysia.


Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, angka RM1.99 seliter bagi RON95 itu menunjukkan bahawa kerajaan sedang menyerap 'hentakan' global bagi mengelakkan rakyat merasai kesan sebenar krisis semasa.


Beliau berpandangan, Kerajaan MADANI tidak mampu menampung tambahan subsidi pada tahap semasa tanpa disiplin pengurusan fiskal, langkah penjimatan serta keutamaan yang jelas untuk melindungi rakyat.


"Kerana disiplin itulah Kerajaan MADANI mampu memberi dan mengekalkan subsidi yang hakikatnya menambah berbilion ringgit sebulan daripada tambahan kepada harga asal RON95.


"Itulah sebabnya walaupun banyak negara lain telah meningkatkan harga bahan api mereka, (namun) Malaysia masih mengekalkan petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.


"Tetapi keadaan seperti ini tidak boleh bertahan lama jika harga minyak kekal tinggi dan konflik terus merebak," ujarnya lagi.


Tambah Abu Hafiz lagi, angka RON95 RM1.99 seliter diteruskan sehingga beberapa bulan lagi menjadi tanda pengorbanan besar kerajaan dalam menahan tekanan luar yang bukan berpunca daripada negara ini.


Beliau berkata, sekiranya subsidi tidak lagi mampu ditanggung pada tahap semasa, kesan yang dirasai amat besar seperti kenaikan harga minyak, peningkatan kos pengangkutan, makanan dan penghantaran, sekali gus memberi tekanan kepada hampir semua sektor ekonomi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page