top of page

Inisiatif Aidilfitri pastikan rakyat sejahtera, selaras fiskal negara - BBC

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyambut baik langkah-langkah segera yang diumumkan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.


Pengerusinya Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pendekatan kerajaan itu jelas memperlihatkan satu kerangka intervensi tersusun dan berfokus dalam meringankan kos sara hidup dan memastikan momentum pemulihan ekonomi rakyat terus diperkukuh.


"Ini penting dalam konteks tekanan inflasi dan peningkatan perbelanjaan bermusim yang lazim dihadapi rakyat," kata beliau dalam kenyataan hari ini.


Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sikijang menyifatkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus dengan implikasi kewangan sehingga RM 21.03 juta merupakan intervensi yang signifikan bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri bersama keluarga.


Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

Dalam masa yang sama katanya pelaksanaan pelepasan kebankrapan secara fast track kepada kira-kira 4,000 individu mencerminkan pendekatan Kerajaan yang progresif dan berperikemanusiaan.


"Dasar ini memberi peluang kedua kepada rakyat untuk kembali menyumbang kepada ekonomi secara produktif, sekali gus mengurangkan beban sosial jangka panjang," jelas beliau.


Langkah-langkah lain seperti bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima, bantuan khas penjawat awam dan jaminan bekalan sepanjang Ramadan membuktikan Kerajaan MADANI mengangkat pendekatan menyeluruh merangkumi dimensi kos sara hidup, kebajikan sosial dan kestabilan pasaran, katanya.


"Apa yang lebih penting, keseluruhan pakej ini memperlihatkan keupayaan kerajaan dalam menyelaras dasar fiskal dan sosial secara serentak, dengan impak langsung kepada rakyat.


"Ini adalah satu strategi intervensi proaktif yang dirancang bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan keupayaan fiskal negara terus terpelihara," katanya.


BBC melihat langkah ini sebagai manifestasi jelas kepada prinsip MADANI yang menekankan nilai ihsan dan berorientasikan rakyat, demikian menurut Zaliha.


"Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bersasar adalah kunci kepada kestabilan negara," ujarnya.


Dalam masa yang sama, Zaliha menyeru rakyat terus mengamalkan perbelanjaan berhemah serta pengurusan kewangan yang berdisiplin agar manfaat daripada pelbagai inisiatif ini dapat dimaksimumkan dalam jangka panjang.


"BBC akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan dalam menyokong dasar-dasar yang memberi manfaat nyata kepada rakyat serta memastikan naratif dasar ini difahami dengan jelas di peringkat akar umbi," kata beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page