Ruji Ubi calon terbaik untuk rakyat N72 Marotai - Saifuddin
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 1 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad yakin Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN N72 Marotai, Datuk Ruji Ubi adalah pilihan terbaik bagi mewakili pengundi kawasan itu.
Menurut Saifuddin, beliau mendengar sendiri harapan penduduk yang mahu diwakili pemimpin yang bukan sahaja memahami denyut nadi rakyat tetapi benar-benar komited untuk memikul amanah memperjuangkannya.
"Saya berpeluang menghadiri ceramah kelompok di Kampung Jagung, Merotai Besar
"Pelbagai isu diketengahkkan penduduk daripada soal pembangunan infrastruktur asas, peluang ekonomi anak muda, keperluan kemudahan kesihatan, hinggalah masa depan yang lebih stabil dan terancang untuk seluruh penduduk Merotai.
"Penduduk mahu perubahan yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan mereka. KEADILAN yakin Ruji mampu menjadi suara itu," kata Saifuddin dalam muat naik di media sosial.
Turut hadir ke acara itu ialah mantan ADUN kawasan tersebut, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah yang turut menyokong pencalonan Ruji.
Ruji sebelum ini melancarkan manifesto bertema “Demi Merotai Sejahtera” dengan fokus kepada pembinaan pekan baharu, penyelesaian masalah infrastruktur asas serta peningkatan ekonomi penduduk.
Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu yakin dengan pengalamannya dalam perkhidmatan awam mampu membawa perubahan positif kepada penduduk kawasan tersebut.





