Ruji minta pengundi Merotai jadikan beliau jambatan penghubung ke Putrajaya
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N72 Merotai, Datuk Ruji Ubi mendedahkan beliau diminta bersara awal oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan isu rakyat di kawasan itu secara lebih efektif sebagai calon kerajaan.
Katanya, beliau telah memaklumkan isu-isu berbangkit yang sering disuarakan seperti infrastruktur, dokumentasi dan tanah adat selain mengetahui kaedah dan saluran bagi menyelesaikan perkara tersebut.
"Orang kampung memerlukan bantuan, jadi Datuk Seri Anwar minta saya bersara awal.
"Jadi kalau orang Merotai, orang Kampung Haji Matahir lepaskan peluang ini, amat sayang (rugi)," katanya dipetik ketika berucap di Kampung Haji Matahir, Merotai semalam.
Ruji menambah, setiap isu berbangkit berpotensi diselesaikan jika ADUN berkenaan daripada parti kerajaan dan pada masa sama mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan perkara yang tidak benar.
Katanya, isu dokumentasi enam beradik dari Kampung Langsat dijadikan contoh keupayaannya menghubungkan rakyat dengan agensi berkaitan, sekali gus menawarkan pengalaman itu sebagai kelebihan jika diberi mandat di DUN Merotai.
"Lima tahun ini ‘gunakan’ saya sebagai jambatan untuk penyelesaian isu, kemajuan dan pembangunan Merotai.
"Gunakan peluang ini (undi) untuk masa depan lima tahun akan datang dengan memilih calon kerajaan," katanya lagi.
Menerusi satu klip video sebelum ini, Ruji menyatakan kesediaan untuk menjadi calon setelah memegang beberapa jawatan penting di kementerian-kementerian besar.
Oleh itu katanya, beliau berazam untuk menjadi ‘jambatan penghubung’ antara penduduk Merotai dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap masalah rakyat dapat dibawa terus ke Putrajaya untuk penyelesaian segera.





