top of page

Pertahan institusi Adat Pepatih, Yang di-Pertuan Besar - AMK N Sembilan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
52 minutes ago
2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat negeri itu agar bersama-sama memberikan sokongan dan penghormatan kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah naungan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat serta sistem Adat Perpatih yang menjadi tunjang kepada identiti, sejarah dan sistem pemerintahan sejak turun-temurun.


Ketua Penerangannya, Azizul Hakim Mahdi (gambar) berkata, dalam semangat tersebut, penghormatan sewajarnya diberikan kepada Datuk Klana Petra, Muhammad Faris Johari, Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 serta Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid, Undang Luak Rembau Ke-22, yang telah melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun lalu dan kemudiannya diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.


Ujar Azizul lagi, pihaknya turut berdiri teguh mempertahankan institusi Undang Luak Jelebu serta menghormati proses adat yang berkaitan dengan pengisian pusaka Undang Luak Jelebu.


"Berdasarkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dilaporkan pada 1 Ogos lalu, jawatan tersebut adalah kosong selepas keputusan Waris Berundang daripada tiga perut berhubung penyandang terdahulu.


"Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan dan adat yang tersendiri. Empat luak utama (iaitu) Sungei Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol secara tradisinya dipimpin oleh Undang.


"Institusi ini bukan sekadar warisan sejarah, malah merupakan sebahagian daripada struktur adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.


"Justeru, kami menyeru seluruh anak-anak Negeri Sembilan tanpa mengira daerah, suku mahupun latar belakang, supaya bersama-sama memelihara keharmonian, menghormati undang-undang serta mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, institusi Undang dan Adat Perpatih yang menjadi warisan serta identiti negeri ini," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, kata Azizul rakyat negeri itu yang ingin menyatakan sokongan secara aman diseru untuk mengikuti Himpunan Gabungan NGO Melayu dan Sidang Media serta Penyerahan Memorandum di hadapan Wisma Negeri pada jam 2 petang esok selepas solat Jumaat.


Ujarnya, penyertaan hendaklah berlangsung secara aman, tertib, menghormati undang-undang dan tidak mencetuskan perbalahan.


Ini kerana katanya, himpunan tersebut bertujuan menyatakan bahawa warisan adat, institusi Undang dan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz perlu terus dihormati melalui saluran yang sah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page