top of page

Ruang digital, media sosial tidak boleh jadi ‘sekolah tanpa guru’

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Ruang digital tidak seharusnya dibiarkan menjadi “sekolah tanpa guru” yang membentuk minda dan emosi remaja tanpa kawalan nilai serta bimbingan moral, tegas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah, Datuk Lahirul Latigu.


Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun serta memperkenalkan sistem pengesahan identiti digital (eKYC) yang akan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pendaftaran akaun media sosial remaja.


"Saya menyambut baik cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun, serta memperkenalkan sistem pengesahan identiti digital (eKYC) bagi pendaftaran akaun media sosial remaja.


"Kita tidak boleh terus membiarkan ruang digital menjadi ‘sekolah tanpa guru’. Semua pihak, ibu bapa, sekolah dan kerajaan perlu saling melengkapi dalam mendidik, mengawal dan membimbing generasi muda agar teknologi menjadi alat kemajuan, bukan ancaman kepada akhlak dan kesejahteraan sosial.

Datuk Lahirul Latigu
Datuk Lahirul Latigu

"Peningkatan had umur kepada 16 tahun memberi ruang untuk remaja membina kematangan berfikir, empati, dan daya tahan diri sebelum mereka berhadapan dengan dunia maya yang sering tidak mempunyai sempadan nilai," kata Lahirul kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, media sosial kini menjadi medan utama pembentukan sikap dan pandangan hidup remaja. Tanpa pengawasan sewajarnya, mereka mudah terdedah kepada budaya buli siber, maklumat palsu dan kandungan berunsur keganasan.


Katanya, tanggungjawab membentuk disiplin digital tidak boleh digalas oleh teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif semua pihak dalam membimbing generasi muda menjadi pengguna bijak dan beretika.


"Langkah ini amat penting dalam usaha melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif media sosial, termasuk budaya buli siber, penyebaran maklumat palsu, dan kandungan berunsur keganasan.


"Dalam banyak kes yang berlaku di sekolah, media sosial terbukti menjadi pemangkin kepada sikap agresif dan krisis emosi dalam kalangan pelajar yang belum matang dari segi mental dan moral.


"Dalam masa yang sama, pelaksanaan sistem eKYC (electronic Know Your Customer) bagi remaja juga satu langkah progresif.


"Ia bukan bertujuan mengongkong, tetapi untuk mewujudkan akauntabiliti dan pemantauan yang lebih baik, di samping membantu kerajaan mengenal pasti trend serta pola penggunaan media sosial bagi tujuan pendidikan dan pencegahan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page