RS-2 dirangka bagi hadapi ketegangan geopolitik, krisis global - MB Selangor
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Situasi semasa termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat serta krisis tenaga global memerlukan Selangor mengambil pendekatan baharu yang lebih berdaya tahan dan adaptif.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, sehubungan itu kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi tempoh lima tahun akan datang bakal akan direncana dengan mengambil kira usaha menangani situasi yang memberi impak kepada ekonomi.
"Di antara pendekatan baharu yang diambil dalam RS-2 ialah berorientasikan misi yang telah menjadi 'hallmark' pakar ekonomi seperti Mariana Mazzucato," katanya dipetik selepas merasmikan Showcase Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor.
Mengulas lanjut mengenai RS-2 Amirudin menjelaskan, selain meneroka peluang-peluang baharu, ia akan memfokuskan untuk mendalami dasar baharu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan antaranya dari segi ekonomi dan keberkesanan Speed Selangor untuk mengoptimumkan urusan pelaburan di Selangor.
"Selepas itu kita akan menggerakkan Speed Selangor Rakyat di peringkat pihak berkuasa tempatan selain aspek penjagaan ekonomi turut diberi penekanan bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.
"Soal kelestarian juga akan menjadi tunjang dalam RS-2" jelasnya.
Mengulas mengenai kerangka RS-2 sedia ada sebelum ini, Amirudin menegaskan beberapa langkah penyesuaian akan dibuat untuk pelan pemulihan memandangkan krisis tenaga ini dijangka berlanjutan.




Comments