top of page

RPN isyarat pembaharuan pendidikan, profesionalisme pelaksanaan penentu kejayaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 disifatkan sebagai isyarat jelas komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan pendidikan secara lebih strategik dan jangka panjang, namun kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan yang berkesan.


Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar), berkata RPN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membawa reformasi pendidikan melangkaui perubahan pentadbiran atau simbolik semata-mata.


"RPN memberi isyarat jelas bahawa reformasi pendidikan mesti bergerak melangkaui perubahan pentadbiran atau simbolik, dan menumpukan kepada pembaikan struktur yang memberi kesan langsung kepada kualiti pembelajaran, profesionalisme guru dan kesejahteraan murid," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, antara reformasi utama yang diketengahkan seperti fleksibiliti umur kemasukan ke Darjah 1, pengukuhan pendidikan awal kanak-kanak serta penekanan terhadap kemahiran berfikir kritikal dan pembelajaran holistik adalah selari dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara.


Bagaimanapun, Ker Chean menegaskan kejayaan reformasi tersebut amat bergantung kepada kejelasan kerangka pelaksanaan, kesediaan pelbagai lapisan dalam sistem pendidikan negara, serta keupayaan sistem sokongan sedia ada untuk menampung perubahan dasar yang signifikan.


"Saya ingin menegaskan bahawa pelaksanaan RPN mesti disertai dengan pelaburan yang konsisten dalam latihan guru, penambahbaikan kurikulum, pengurangan beban pentadbiran, serta mekanisme pemantauan dan penilaian yang telus," ujarnya.


Beliau turut menekankan keperluan penyelarasan yang baik antara pelbagai peringkat pentadbiran pendidikan agar aspirasi RPN dapat diterjemahkan secara konsisten di semua peringkat, khususnya bagi komuniti berpendapatan sederhana dan rendah serta kawasan luar bandar.


Dari perspektif wanita dan ibu bekerja, Ker Chean berpandangan RPN membuka ruang untuk diperkukuh sebagai sebahagian daripada ekosistem penjagaan dan pembangunan awal kanak-kanak yang lebih menyeluruh.


"Penyesuaian umur kemasukan sekolah dan penstrukturan prasekolah boleh dimanfaatkan secara optimum apabila disokong oleh akses yang lebih meluas kepada penjagaan awal kanak-kanak yang berkualiti, selamat dan mampu milik, termasuk peluasan prasekolah awam, penyelarasan standard pusat jagaan serta dasar sokongan yang progresif kepada ibu bapa bekerja.


"Pendekatan bersepadu ini berpotensi memperkasa peranan wanita tanpa menambah beban, selari dengan aspirasi kesejahteraan keluarga dan pembangunan modal insan negara," katanya.


Beliau mengingatkan bahawa tanpa integrasi yang jelas antara dasar pendidikan dan dasar kesejahteraan keluarga, reformasi pendidikan berisiko menambah beban kepada wanita, khususnya golongan ibu yang memainkan peranan utama dalam penjagaan awal anak.


Selain itu, beliau menegaskan bahawa RPN tidak boleh sekadar menjadi dokumen dasar, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang telus, boleh diukur dan responsif terhadap realiti di lapangan.


Katanya, kepimpinan wanita dalam hal pendidikan akan memastikan kejayaan RPN pada tempoh yang disasarkan.


"Kepimpinan wanita dalam kerajaan Malaysia MADANI akan terus memainkan peranan aktif bagi memastikan reformasi pendidikan ini dilaksanakan secara adil, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga, dengan akauntabiliti yang jelas kepada rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page