top of page

RPN 2026-35 mampu perkukuh literasi, numerasi, tingkat kemahiran pelajar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pengumuman Perdana Menteri berhubung pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang akan digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai usaha menyeluruh memperkukuh sistem pendidikan negara disambut baik Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading, Sarawak.


Menurut Timbalan Ketua Komunikasi AMK Mas Gading, Mohd Zulhamzanie Sh Hamjan, ketetapan baharu kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu merupakan langkah yang realistik serta selari dengan perkembangan kanak-kanak masa kini.

 Mohd Zulhamzanie Sh Hamjan
 Mohd Zulhamzanie Sh Hamjan

"Pendedahan awal kepada pendidikan formal mampu membina asas literasi, numerasi dan kemahiran sosial yang lebih kukuh, khususnya dalam menghadapi persekitaran dunia yang semakin berteraskan teknologi," katanya dalam kenyataan media.


AMK Mas Gading turut menyokong penekanan terhadap pemerkasaan jati diri nasional melalui kewajipan pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam semua aliran sekolah di Malaysia.


"Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai teras pembinaan identiti negara adalah elemen penting dalam melahirkan generasi yang memahami akar budaya, semangat perpaduan serta nilai kenegaraan," jelasnya.


Selain itu, AMK Mas Gading berpandangan pendekatan pengukuran pembelajaran murid Tahun 4 yang memfokuskan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains adalah wajar dan relevan.


"Penilaian ini penting bagi mengenal pasti tahap penguasaan asas murid lebih awal, sekali gus membolehkan intervensi pendidikan dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.


Bagi peringkat menengah rendah pula, penilaian terhadap murid Tingkatan 3 yang merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah dilihat sebagai satu pendekatan seimbang antara penguasaan akademik dan pembentukan nilai.


Secara keseluruhan, AMK Mas Gading berpandangan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 merupakan satu langkah progresif dan berwawasan yang mampu melahir generasi lebih berpendidikan.


"Dengan pelaksanaan yang teliti, sokongan guru terlatih serta kerjasama ibu bapa, dasar ini berpotensi melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berjati diri dan berdaya saing di peringkat global," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page