top of page

RPN 2026–2035: Reformasi pendidikan perlu dilaksana secara seimbang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pembentangan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 oleh Perdana Menteri semalam yang disifatkan sebagai langkah berani merombak landskap pendidikan negara ke arah sistem lebih inklusif, mampan dan berpaksikan masa hadapan.


Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar) berkata RPN itu mengundang pelbagai reaksi namun jelas memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melakukan reformasi pendidikan secara menyeluruh.


"AMANAH melihat RPN ini sebagai satu usaha serius kerajaan membina sistem pendidikan yang lebih responsif terhadap keperluan semasa dan cabaran masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata keputusan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak ke Tahun 1 seawal usia enam tahun secara sukarela mulai 2027 menunjukkan pendekatan yang lebih anjal dan berteraskan perkembangan kognitif kanak-kanak.


"Langkah ini tidak memaksa, sebaliknya menghormati kesediaan murid dan keperluan keluarga," ujarnya.


Mengulas ketegasan kerajaan mewajibkan pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di semua jenis sekolah, Azli menyifatkannya sebagai tepat pada masanya.


"Ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong bagi memperkukuh jati diri nasional, perpaduan serta kefahaman sejarah negara," katanya.


Dalam masa sama, AMANAH menghargai kesediaan kerajaan meneliti semula pandangan pelbagai pihak berkaitan pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini.


Menurut Azli, pengenalan penilaian berpusat baharu bagi murid Tahun 4 dan Tingkatan 3 bertujuan memperjelas standard pembelajaran serta mengesan kelemahan lebih awal.


"Ia langkah untuk meningkatkan mutu pendidikan secara menyeluruh, bukan kembali kepada tekanan peperiksaan," katanya.


Beliau turut menyokong pengenalan TVET di peringkat sekolah menengah, khususnya dalam bidang teknologi dan digital, namun berpandangan pelaksanaannya di peringkat sekolah rendah perlu diperhalusi.


Azli berkata AMANAH juga menyambut baik jaminan kerajaan terhadap kemasukan pelajar cemerlang ke IPTA berasaskan merit serta keupayaan universiti, selain langkah inklusif menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar OKU dan keluarga miskin tegar.


Menurut beliau, keputusan meletakkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi turut memberi makna baharu kepada laluan pendidikan tersebut.


"Ia bukan sahaja melancarkan transisi ke universiti, malah meningkatkan keyakinan dan moral pelajar," ujarnya.


Azli menegaskan AMANAH mendokong penuh pelaksanaan RPN 2026–2035 sebagai asas pembinaan modal insan dan pengukuhan perpaduan negara.


"Reformasi pendidikan ini mesti dilaksana dengan konsisten demi masa depan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page