top of page

Kerajaan bantu PMKS hadapi gangguan logistik konflik Asia Barat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan memberi jaminan akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya berlaku gangguan terhadap logistik dan penghantaran barangan susulan konflik Asia Barat.


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin (gambar) berkata, pada masa ini, kerajaan masih menjalankan analisis dan memantau secara lebih serius berhubung situasi di Asia Barat.


"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menjelaskan bahawa sudah tentu ada impaknya terhadap ekonomi Malaysia.


"Kita akan menghadapi masalah dari segi logistik dan barangan yang melalui kawasan perang. Cabaran ini bukan sahaja dihadapi Malaysia, malah negara lain di seluruh dunia.


"Kerajaan akan cuba membantu dari segi masalah kalau ada yang tersangkut di mana-mana logistik barangan mereka," katanya dipetik di Dewan Negara pada Selasa.


Tze Tzin berkata begitu sebagai menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai strategi kementerian untuk mengatasi masalah dihadapi PMKS susulan konflik Asia Barat.


"Kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan bertindak secara proaktif.


"Bagaimanapun, kita memerlukan laporan daripada kedutaan dan atase MITI, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di rantau sana agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan," tambahnya.


Jumaat lalu, Perdana Menteri menegaskan, perkembangan geopolitik semasa termasuk serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.


Ia khusus melibatkan kos pengangkutan, perdagangan dan harga barangan import.


Walaupun kerajaan jelasnya mengambil langkah awal bagi mengurangkan kesan kepada rakyat. masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil ringan keadaan semasa dan mula berbelanja secara berhemah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page