Jangan bertindak melampaui batas dalam isu agama - Rajen Munusamy
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Masyarakat di negara ini diseru agar terus bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang terutamanya membabitkan isu agama.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, Rajen Munusamy berkata, isu sensitif perlu ditangani melalui saluran perundangan dan institusi yang sah, demi memastikan keadilan ditegakkan tanpa menjejaskan keamanan awam.
Katanya, kebebasan bersuara di negara ini tidak boleh disalahgunakan sehingga menimbulkan kebencian, provokasi atau penghinaan terhadap agama lain.
"Malaysia hanya akan terus maju sekiranya kita mempertahankan nilai hormat-menghormati, toleransi dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara.
"Sebarang usaha untuk memecahbelahkan masyarakat atas dasar agama harus ditolak dengan tegas oleh semua pihak.

"Saya memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu bernama Tamim Dahri yang memaparkan sebuah video dengan niat sengaja memijak dan merosakkan trisul Hindu, dengan petikan 'Aktiviti Masa Lapang' jelas membuktikan satu tindakan berunsur penghinaan terhadap kepercayaan dan sensitiviti masyarakat Hindu," katanya dalam satu kenyataan.
Rajen menyifatkan, perkara berkenaan bukan sahaja menguris hati penganut agama Hindu, malah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Malah ujarnya, hal itu merupakan satu episod drama yang berpotensi untuk menyemai kebencian terhadap agama lain dalam kalangan rakyat, berselimutkan dengan perjuangan membanteras rumah ibadat tanpa kelulusan.
"Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar menjalankan siasatan segera, telus dan tegas terhadap perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang sekiranya didapati wujud unsur penghinaan agama dan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara," tegas beliau.
Terdahulu, aktivis masyarakat, Tamim Dahri Abdul Razak dilaporkan mencetuskan kontroversi selepas muncul klip video yang didakwa menunjukkan dirinya menghina simbol suci Hindu.
Rakaman itu memaparkan dia memijak trisula atau tombak bercabang tiga yang dikenali sebagai 'soolam' di kawasan terbuka yang tidak dikenal pasti.




Comments