Rozy Razit hargai sokongan di Buloh Kasap, tekad terus berbakti


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.01 Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati terbuka.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Rozy Razit (gambar) menzahirkan penghargaan pengundi yang memberikan kepercayaan kepadanya dengan menyifatkan setiap undi diterima amanah dan harapan yang akan sentiasa beliau dihargai.
"Sepanjang tempoh berkempen, saya berpeluang mendengar sendiri suara rakyat, memahami cabaran kehidupan mereka dan mengenali lebih dekat denyut nadi masyarakat Buloh Kasap.
"Saya datang sebagai seorang calon, tetapi pulang dengan seribu pengajaran dan sebuah keluarga yang begitu dekat di hati," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah EXCO Wanita KEADILAN itu, kekalahan kali ini bukan penamat perjuangan, sebaliknya komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Buloh Kasap.
"Terima kasih, Buloh Kasap. Terima kasih atas kasih sayang, kepercayaan dan setiap doa yang telah kalian titipkan. Insya-Allah, saya akan terus berbakti kepada masyarakat walau dalam apa jua keadaan," tambahnya.
Dalam hantaran sama, beliau sambil turut merakamkan penghargaan kepada jentera dan sukarelawan PH yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.




Comments