Royalti petroleum: Kerajaan Terengganu perlu ada hasil lain - Azan
- Suara Keadilan
- Apr 1, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan Pas Terengganu digesa mencari sumber hasil mencukupi selain sumbangan wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ketua Cabang Kuala Terengganu, Azan Ismail, KEADILAN Terengganu menggesa Kerajaan Negeri tidak hanya bergantung harap kepada pemberian wang ehsan petroleum semata mata sebagai sumber utama pendapatan negeri.
Menurut Azan, kaedah itu dilihat berisiko memandangkan sumber pendapatan melalui hasil negeri hanya sekitar 10% sahaja.
"Tanpa bayaran royalti maka sesiapa menjadi (Kerajaan Negeri) boleh dikatakan akan gagal kerana sumber lain seperti hasil perhutanan dan cukai hanya terhad 10%.
"Sepatutnya kerajaan negeri Terengganu perlu ada pendapatan sendiri untuk bayaran gaji dan pembangunan negeri seperti negeri-negeri lain," katanya dalam satu siaran media.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menggesa kerajaan pusat memberi penjelasan tunggakan pembayaran wang ihsan petroleum Terengganu yang belum diterima untuk tahun lalu.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata kerajaannya sudah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023 sebanyak RM786 juta.
Mengulas lanjut, Azan berkata, Kerajaan Pas perlu mencari hasil lain untuk pembangunan negeri sebagaimana negeri jiran. Katanya, seandainya petroleum habis dicarigali di negeri itu maka sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan akan menghadapi masalah besar untuk mentadbir.
"Kaedah ini tidak boleh berterusan. Bayangkan kalau tidak ada royalti pada satu masa, adakah kerajaan Terengganu akan bankrap serta merta
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa ada penelitian. Kerajaan pusat melihat Kerajaan Negeri terlalu bergantung harap dengan sumber ini untuk mengurus.
"Perlu ada satu kaedah lain yang boleh menyelamatkan keadaan. Tidak boleh tetalu bergantung kepada pembayaran ini sahaja. Pentadbiran Terengganu perlu memastikan asas hasil negeri setara dengan negeri jiran Kelantan atau Pahang," katanya lagi.
Commentaires