Roti Gardenia: 'Malu besar kalau PN menang di Sabah'
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 2 min read

Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah memperlekeh pengundi Sabah dengan kenyataan “bagi roti Gardenia pun cukup” terus dipertikai pemimpin Pakatan Harapan.
Terbaharu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mengecam keras kenyataan berkenaan yang disifatkan menghina pengundi di Sabah.
Menurut Mahfuz, ucapan yang diungkapkan dalam Sidang DUN Kedah itu merupakan tindakan biadab dan merendahkan martabat rakyat Sabah.
"Kenyataan Exco Pas Kedah bahawa rakyat ‘bagi roti Gardenia pun cukup’ bukan sekadar biadab, ia ibarat mengatakan orang Sabah ini tidak ada standard, cukup disuap roti dari Semenanjung
"Ini bukan penghinaan kecil. Ini hantar isyarat terus, Pas anggap orang Sabah senang diperbodohkan," katanya dalam kenyataan.
Mahfuz turut menyindir reaksi pimpinan Perikatan Nasional (PN) Sabah yang dilihat panik apabila rakyat Sabah mula meluahkan kemarahan terhadap kenyataan tersebut.
"Yang lebih kelakar, bila rakyat Sabah mula marah, pemimpin PN Sabah pun panik dan ‘palui’ Pas. Bukan sebab berani, tapi sebab takut undi PN lari macam ayam nampak ular," sinisnya.
Sehubungan itu, Mahfuz mempersoalkan kewibawaan gabungan politik itu yang menurutnya tidak konsisten dalam menghormati rakyat Sabah.
"Gabungan apa begini? Pas mulut besar, Bersatu takut besar dan rakyat Sabah pula dijadikan bahan mainan sempena PRN," ujarnya
Justeru, Mahfuz memberi peringatan tegas kepada pengundi Sabah agar tidak membiarkan penghinaan seperti itu berulang.
"Terus terang, kalau selepas Pas hina maruah Sabah begini, masih ada yang undi PN, itu bukan Pas dan PN yang memalukan Sabah tetapi itu bermakna kita sendiri urang Sabah yang bagi lesen untuk dihina," katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah adalah negeri bermaruah dan rakyatnya tidak wajar diperlakukan seolah-olah mudah dipujuk dan disogok.
"Sabah ini negeri bermaruah. Kalau Pas dan PN pandang Sabah seperti budak sekolah boleh dipujuk dengan sekeping roti, jawapan paling padu urang Sabah kena beri ialah: ‘Bah, roti kamu simpan. Undi kami bagi sama urang lain.’
"Kami tolak Pas-PN," katanya lagi.





