Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendapati Datin Seri Rosmah Mansur, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia bersalah atas pertuduhan meminta wang sebanyak RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta merupakan satu kemenangan buat pelajar pelajar di Sarawak yang dikhianati.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak, Chiew Choon Man, keputusan mahkamah itu juga pada satu sisi membuktikan pemimpin kerajaan pusat sanggup menggadaikan pendidikan anak Sarawak untuk kepentingan peribadi.
"Keputusan Mahkamah dengan jelasnya mencerminkan sikap pemimpin politik dan sekutunya yang sanggup menggadaikan nasib rakyat dan generasi akan datang hanya untuk memenuhi nafsu diri mereka.
"Bagi mereka yang tidak ada erti amanah, kejujuran dan integriti ini sanggup membiarkan anak-anak kita belajar dalam keadaan yang tidak selesa atau tidak selamat, asalkan mereka dapat terus hidup dalam kemewahan melampau.
"Walau bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi ini merupakan suatu permulaan untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat Sarawak. Keadilan dapat ditegakkan adalah hasil daripada sokongan seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Oleh itu, AMK Sarawak menyeru seluruh rakyat Sarawak terus memberi sokongan kepada KEADILAN serta rakan seperjuangannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi mencapai keadilan kepada rakyat Sarawak dan mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama di bumi kenyalang ini," katanya dalam satu kenyataan.
Choon Man turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar memberi lebih banyak bantuan, yang tentu sekali perlu dipantau rapi daripada diselewengkan, kepada sekolah sekolah daif di Sarawak.
Katanya, banyak sekolah terutamanya di kawasan luar bandar berada telah usang dan kekurangan kelengkapan serta kemudahan asas. Ujarnya, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia terdapat 351 bangunan sekolah daif dan daripada jumlah itu sebanyak 107 sekolah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai bangunan yang tidak selamat.
Selain itu, Choon Man berpuas hati dengan keputusan mahkamah semalam yang melambangkan kebebasan badan kehakiman.
"Keputusan Mahkamah memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terhadap kebebasan badan kehakiman dan kewibawaan institusi penguatkuasa di negara kita.
"Namun, ini juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sarawak sekali lagi dikhianati oleh pemimpin politik atau sekutunya daripada Barisan Nasional," katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta keatas Rosmah di atas kesalahan yang dilakukan beliau.
Rosmah, sebelum ini dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek pembekalan elektrik melalui solar, serta penyelenggaraan dan operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus bernilai RM1.25 bilion.
Commentaires