top of page

RoS batal pendaftaran PN, penjelasan gagal sangkal asas keputusan

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 hour ago
1 min read

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.


RoS dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi yang diterima daripada PN.


Menurut jabatan itu, PN sebelum ini diberikan peluang mengemukakan penjelasan menerusi notis bertarikh 22 September lalu di bawah subseksyen 13(2) akta berkenaan.


RoS menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober sebelum memutuskan bahawa penjelasan itu tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran gabungan berkenaan.


"Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966," kata kenyataan itu hari ini.


RoS turut menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang dan perlembagaan masing-masing.


Digantung sejak 23 September


Keputusan itu menyusul tindakan penggantungan semua kegiatan PN pada 23 September lalu selepas RoS menerima aduan rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung isu dalaman gabungan berkenaan.


Sebelum ini, Bersatu mengadu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, selain membangkitkan persoalan berkaitan status keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.


Laporan media tempatan sebelum ini memetik Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan RoS terhadap gabungan itu sebagai berkemungkinan berpunca daripada tekanan politik.


Pada 24 September lalu, beliau mengesahkan PN menerima notis berkaitan kemungkinan pembatalan pendaftaran dan menegaskan gabungan itu tidak bersetuju dengan asas tindakan berkenaan.


Susulan tindakan RoS itu, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Oktober lalu bagi mencabar tindakan jabatan berkenaan berkaitan status pendaftaran gabungan itu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page