KPKT pulih 1,726 projek bermasalah, hampir 200,000 unit rumah diselamatkan


Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta bermasalah melibatkan 199,643 unit rumah berjaya dipulihkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2023 hingga Ogos 2026, sekali gus memberi harapan kepada ribuan pembeli yang menantikan kediaman mereka.
Usaha pemulihan itu melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM158.16 bilion, merangkumi projek sakit dan terbengkalai yang berjaya dipulihkan menerusi pelbagai intervensi serta penyelarasan tindakan di lapangan.
Pencapaian tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 5 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu, selaku pengerusi pasukan petugas berkenaan.
Katanya, lebih 163,000 unit rumah berjaya disiapkan. Daripada keseluruhan projek yang dipulihkan, sebanyak 147 projek sakit melibatkan 29,900 unit rumah berjaya kembali kepada status lancar.
Selain itu, sebanyak 1,542 projek sakit melibatkan 163,621 unit rumah berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Sebanyak 37 lagi projek terbengkalai yang melibatkan 6,122 unit rumah berjaya dipulihkan melalui penyiapan fizikal atau penyelesaian lain.
Turun padang percepat penyelesaian projek
KPKT turut mempergiat pendekatan turun padang bagi mengenal pasti masalah yang menjejaskan kemajuan projek secara langsung.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 33 lawatan kerja ke projek berstatus lewat dan sakit telah dilaksanakan.
Hasil intervensi serta penyelarasan tindakan susulan, 23 projek yang dilawati berjaya memperoleh CCC.
Pendekatan ini membolehkan isu di lapangan diteliti dengan lebih dekat, selain memperkukuh kerjasama antara agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat utiliti dan pemaju.
Residensi Hektar Gombak dijangka siap 2027
Antara projek yang menunjukkan perkembangan positif ialah Residensi Hektar Gombak, yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 92.67 peratus.
Projek itu dijangka siap pada suku pertama 2027, sebelum penyerahan milikan kosong kepada pembeli pada suku kedua tahun yang sama.
Menurut Aiman Athirah, di sebalik setiap projek perumahan yang berjaya dipulihkan, terdapat harapan pembeli dan keluarga yang telah lama menantikan kediaman mereka.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan tidak boleh bergantung kepada laporan semata-mata, sebaliknya perlu disokong tindakan turun padang dan kerjasama erat semua pihak bagi mempercepat penyelesaian masalah.
KPKT akan terus memperkukuh intervensi awal, pemantauan rapi dan tindakan pemulihan bersasar bagi melindungi kepentingan pembeli serta memastikan lebih banyak projek perumahan bermasalah dapat diselesaikan.




Comments