top of page

PRN Melaka: Rakyat perlu bandingkan rekod kewangan, pembangunan era PH, BN

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
51 minutes ago
2 min read

Rakyat Melaka perlu menilai rekod pengurusan kewangan dan keutamaan pembangunan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk kewajaran kos projek serta manfaatnya kepada masyarakat.


Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2019 dan pelaksanaan projek di bawah Barisan Nasional (BN) ketika ini boleh dijadikan perbandingan oleh rakyat.


Beliau berkata, ketika Kerajaan Negeri diterajui mantan Ketua Menteri, Adly Zahari, Akaun Hasil Disatukan Melaka mencatatkan lebihan RM18.08 juta pada 2019 berbanding defisit RM13.86 juta pada 2018.


"Daripada defisit kepada lebihan. Perubahan RM31.94 juta dalam kedudukan kewangan tahunan negeri. Ini rekod audit, bukan angka yang direka untuk menghiasi pentas ceramah," katanya menerusi kenyataan media "Belanjawan MADANI 2027: Rekod Pakatan Harapan dan Masa Depan Melaka".


Eddiarman berkata, pentadbiran BN ketika ini berdepan persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan pembangunan, termasuk projek naik taraf Jejantas Tun Teja di Melaka Sentral.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

Dakwanya, kos naik taraf yang dilaporkan berjumlah RM7.9 juta, selain kontrak penyelenggaraan dan pembersihan dengan harga siling RM2.075 juta bagi tempoh tiga tahun itu wajar diteliti dari segi kos dan manfaat kepada rakyat.


"Bukan sedikit angkanya. Maka tidak pelik apabila rakyat mahu meneliti kewajaran kos dan manfaat sebenar projek tersebut," kata beliau.


Eddiarman turut membangkitkan isu kemudahan asas yang menurutnya masih memerlukan perhatian, termasuk keadaan stesen bas Melaka Sentral, lampu jalan yang rosak atau malap, penyelenggaraan pokok di tepi jalan, masalah sampah dan kejadian banjir kilat.


"Cantik dan mahal mercu tanda, tapi jangan sampai kemudahan asas pula dilupakan," sinis beliau.


Belanjawan MADANI 2027 bantu Melaka


Dalam pada itu, Eddiarman berkata, Belanjawan MADANI 2027 di peringkat Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyediakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, merangkumi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Jualan Rahmah, bantuan pendidikan dan kesihatan, perumahan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan infrastruktur.


Katanya, Melaka mempunyai peluang untuk memanfaatkan agenda berkenaan, khususnya dalam pembangunan perumahan mampu milik, tebatan banjir, kesihatan, latihan kemahiran dan ekonomi negeri.


Beliau menegaskan, rakyat pada waktu ini berhak mengetahui bukan sahaja jumlah perbelanjaan Kerajaan Negeri, malah bagaimana keputusan pembangunan dibuat dan pihak yang menerima manfaat daripada pelaksanaan projek.


"Rekod PH pada 2019 dan pelaksanaan projek di bawah BN sekarang memberikan dua tempoh pentadbiran yang boleh diteliti oleh rakyat melalui laporan pengurusan kewangan, kos projek serta pencapaian pembangunan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat membuat pertimbangan sewajarnya menjelang PRN Melaka ke-16 dengan menilai rekod pentadbiran dan dasar pembangunan, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman.


"Fikir, imbang dan buatlah keputusan dengan bijak, jangan terpedaya dengan sentimen emosi yang bersifat rasis yang memecah keharmonian," katanya.




Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page