top of page

Buli siber terhadap Ummi Umairah dikecam, hormati suara mahasiswa - Ginie

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
22 minutes ago
2 min read

Wanita KEADILAN mengecam tindakan pembulian siber, penghinaan dan ugutan terhadap mahasiswi Universiti Malaya, Ummi Umairah Bakhit, susulan keberaniannya mempersoalkan kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, perbezaan pandangan sepatutnya ditangani melalui hujah dan perbincangan, bukannya intimidasi atau ancaman terhadap individu yang menyuarakan pendapat.


"Kami mengecam sekeras-kerasnya pembulian siber, penghinaan dan ugutan terhadap beliau. Perbezaan pandangan mesti dijawab dengan hujah, bukan intimidasi," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkan Ummi Umairah mencerminkan kesedaran generasi muda yang semakin berani menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Datuk Ginie Lim
Datuk Ginie Lim

Menurutnya, keberanian mahasiswa menyuarakan persoalan berkaitan integriti perlu dihormati, bukannya dibalas dengan serangan peribadi.


Ginie turut menegaskan bahawa suara Ummi Umairah seharusnya menjadi peringatan kepada kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan pemerintahan terdahulu, selain terus mempertahankan prinsip integriti dan ketelusan.


"Suara Ummi Umairah juga harus menjadi peringatan kepada kerajaan hari ini agar tidak mengulangi kesilapan pemerintahan terdahulu. Integriti dan ketelusan mesti terus dipertahankan," katanya.


Dalam pada itu, beliau mengaitkan keberanian mahasiswa bersuara dengan sejarah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam gerakan Baling pada 1974 serta perjuangan Reformasi.


Katanya, sejarah membuktikan suara anak muda mampu mencetuskan perubahan dan menjadi asas kepada perjuangan menuntut pembaharuan.


"Mahasiswa yang berani bersuara adalah harapan negara. Sejarah perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam gerakan Baling 1974 membuktikan bahawa suara anak muda mampu mencetuskan perubahan dan menjadi asas perjuangan Reformasi," katanya.


Ginie berkata, budaya menerima teguran perlu diperkukuh dalam masyarakat dan pentadbiran negara bagi memastikan ruang demokrasi terus terpelihara.


"Wanita KEADILAN percaya rakyat berani menegur, kerajaan berani menerima teguran. Inilah semangat Reformasi yang mesti dipertahankan demi masa depan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page