Jenayah korporat: Undang undang sedia ada mencukupi, tingkatkan tekad politik


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan agensi berkaitan dianggap mencukupi untuk menangani jenayah korporat, namun memerlukan tekad politik yang jelas bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata, agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peruntukan undang-undang sedia ada bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Saya lihat banyak juga kritikan-kritikan tetapi tidak langsung menyinggung jenayah korporat puluhan bilion yang berlaku dulu seolah-olah ada yang mahu dilindungi (dan) ada mahu didedahkan.
"Pendirian kita (ialah) apa sahaja maklumat yang diperolehi tanpa kecuali, harus didedahkan dan dijalankan siasatan seperti yang diperlukan.
"Ini berbeza daripada tohmahan biasa tanpa bukti yang jelas," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai keperluan memperluas skop siasatan jenayah korporat yang merentas pelbagai agensi penguatkuasaan serta melibatkan transaksi ke luar negara.
Aminuddin turut membangkitkan keperluan memperkukuh kerjasama dengan negara luar bagi menangani jenayah terancang rentas sempadan, selain meneliti kemungkinan meminda undang-undang berkaitan perdagangan dan kewangan bagi mengelakkan kelompongan dalam penguatkuasaan serta pendakwaan yang boleh menyebabkan pesalah terlepas daripada hukuman.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pindaan undang-undang yang sedang dicadangkan ketika ini hanya melibatkan perusahaan milik kerajaan atau Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE Act) di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Pindaan berkenaan ujarnya dijangka dibentangkan menjelang akhir tahun ini sekiranya dapat disiapkan atau pada awal tahun depan jika memerlukan masa tambahan.
"Apakah ada kerjasama dengan badan antarabangsa? Memang masing-masing sama ada SC, BNM atau SPRM ada kaitan dengan badan antarabangsa kerana (ia) memerlukan kerjasama, kadang-kadang jenayah ini rentas sempadan.
"Syukur, setakat ini, penilaian antarabangsa terhadap Malaysia pada 2025 menerusi Mutual Evaluation oleh Financial Action Task Force (FATF) pada 2025 memberikan pengiktirafan yang sangat tinggi kepada BNM," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.




Comments