top of page

RON95 RM1.99: Janji tetap dikota walau ekonomi global mencabar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 23
  • 2 min read
ree

Penurunan harga petrol RON95 serendah RM1.99 seliter daripada sebelumnya RM2.05 ditunaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di tengah tengah keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, amat dihargai.


Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit, tindakan Kerajaan itu menjadi bukti betapa rakyat didahulukan dalam menikmati kebajikan serta kemudahan.


Langkah penjimatan tersebut, katanya, akan memberi kelegaan kepada orang ramai dalam menghadapi kos sara hidup harian, di samping menegaskan bahawa PM Anwar tidak pernah memungkiri janji pilihanraya untuk menurunkan harga minyak sebagaimana dipersenda pembangkang sebelum ini.


"Respon rakyat (setelah pengumuman pada Isnin) jelas menunjukkan penerimaan yang positif kerana ia memberi kelegaan besar dalam kos sara hidup harian.

Senator Abun Sui Anyit
Senator Abun Sui Anyit

"Langkah ini juga membuktikan janji Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dikota walaupun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar," kata Abun Sui dalam satu kenyataan.


Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu menegaskan, usaha kerajaan mengekalkan harga petrol pada kadar rendah amat signifikan memandangkan harga minyak mentah dunia sedang berada pada paras agak tinggi.


"Ini adalah bukti nyata komitmen untuk menjaga kesejahteraan rakyat," ujarnya.


Pada masa sama, Abun Sui menempelak sikap segelintir pihak yang tidak menghargai langkah tersebut dan cuba menafikan polisi memberi kuota 300 liter petrol bersubsidi kepada setiap pemegang lesen memandu yang sah mampu menjimatkan perbelanjaan rakyat.


Dalam pada itu, Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu turut menyeru pihak berkuasa agar bertindak tegas sekiranya berlaku sebarang cubaan penyelewengan terutama sekiranya ada pihak yang membantu warga asing membeli petrol bersubsidi.


"Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, sama ada melalui penyeludupan atau perbuatan lain yang merugikan negara.


"Jika masih terdapat kegiatan yang menjejaskan kepentingan rakyat dan hanya menguntungkan warga asing, pihak berkuasa wajar bertindak segera demi melindungi hak dan kepentingan rakyat Malaysia," katanya.


Pelaksanaan skim subsidi petrol BUDI95 akan bermula pada 27 September ini melibatkan anggota polis dan tentera; diikuti penerima bantuan STR pada 28 September; dan kesemua rakyat pada 30 September.


Pengguna kenderaan memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk membeli petrol di stesen minyak.


Urusan pengesahan boleh dibuat di pam minyak, di kaunter stesen minyak atau untuk lebih mudah menggunakan aplikasi Touch n Go atau Setel (aplikasi beli minyak online Petronas).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page