Rombalan kabinet mantapkan jentera kerajaan, depani cabaran semasa
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Wanita KEADILAN hari ini menzahirkan keyakinan tinggi bahawa gabungan pengalaman luas, kewibawaan kepimpinan serta kekuatan jati diri yang dimiliki barisan Jemaah Menteri baharu, mampu menjamin kelangsungan hala tuju negara agar terus kekal berada di landasan yang tepat.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, pihaknya terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan agenda MADANI dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata buat seluruh rakyat Malaysia.
"Wanita KEADILAN menyambut baik langkah PM melakukan rombakan kabinet menjelang ulang tahun ketiga pentadbiran ini.
"Langkah ini dilihat amat wajar bagi memantapkan lagi jentera kerajaan demi memenuhi harapan rakyat yang semakin tinggi serta mendepani cabaran dunia yang tidak menentu.

"Sepanjang tiga tahun ini, Kerajaan MADANI menumpukan usaha pada agenda membanteras rasuah, menjunjung prinsip demokrasi dan keadilan, merancakkan ekonomi, mengeratkan hubungan diplomasi, serta menyantuni kebajikan rakyat bagi melunaskan amanah yang diberi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ginie lagi, tekanan hidup rakyat masih dirasai dan sebahagian besarnya berpunca daripada beban masalah peninggalan pentadbiran lalu yang mengambil masa untuk dipulihkan.
Justeru ujar beliau, tempoh mendatang ini amat penting bagi mempersiapkan negara untuk berdepan dengan keadaan dunia yang semakin mencabar.
PM semalam mengumumkan rombakan kabinet melibatkan 18 menteri dan timbalan menteri lantikan baharu.





