Rombakan kecik Kabinet lepas bincang dengan ketua-ketua parti - PM
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan rombakan kecil Kabinet dalam masa terdekat setelah mengadakan rundingan dengan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri menjelaskan rundingan dengan ketua parti dilaksana sesuai dengan amalan demokrasi meskipun beliau mempunyai budi bicara dan prerogatif dalam membuat keputusan berkaitan pelantikan anggota Jemaah Menteri.
"Dia (jawatan menteri) ada kekosongan, biar saya runding. Betul dia budi bicara atau wewenang Perdana Menteri untuk mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Tapi saya seperti biasa dalam proses demokrasi dan menghormati pandangan kawan-kawan, saya tentunya akan mendengar pandangan ketua parti. Tapi keputusan muktamad saya akan ambil dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, di Cyberjaya hari ini.
Sebelum ini laporan media menyebut Perdana Menteri menyatakan hanya rombakan kecil Kabinet akan dilakukan bagi mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.
Anwar berkata perkara itu dilakukan berikutan tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbirannya berakhir.
Sebelum ini, media melaporkan rombakan Kabinet dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri pada awal Disember ini.
Kekosongan tersebut melibatkan jawatan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) susulan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tamat tempoh perkhidmatannya sebagai senator selama dua penggal.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi susulan isu 40 peratus hasil Sabah.
Sebelum itu, jawatan Menteri Ekonomi turut kosong selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam selepas kedua-duanya kalah dalam pemilihan parti.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka dikekalkan setelah masing-masing mengangkat sumpah senator bagi penggal kedua kelmarin.





