top of page

Rombakan Kabinet: 'Pasukan berwibawa bersama PM'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 14 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kestabilan politik negara apabila barisan menteri baharu yang dilantik terdiri daripada pasukan yang mampu bekerja seiring dengan kepimpinan beliau.


Pandangan itu dikongsikan mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), ketika ditanya mengenai keupayaan Kabinet pasca rombakan tersebut dalam membantu kerajaan bergerak lebih pantas membuat keputusan, khususnya berkaitan isu kos sara hidup rakyat.


Katanya, beliau menyifatkan barisan kepimpinan baharu ini sebagai sebuah pasukan yang 'bersama' dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).


"Pasukan yang PMX pun selesa dengan mereka, walaupun berbeza parti. Sudah pasti apabila ada persefahaman, apa sahaja agenda yang hendak dibawa akan dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit.


"Pada ketika ini, saya melihat barisan pimpinan baharu yang dilantik oleh PMX adalah barisan pimpinan yang boleh bekerjasama dengan beliau, yang beliau senang memberi arahan.


"Mereka sendiri pun boleh menerima arahan PMX dan PMX sendiri boleh menerima kritikan daripada orang di sekeliling beliau.


"Ini cukup penting kerana ia akan mewujudkan sebuah pasukan yang kuat dan dalam masa sama, kestabilan politik itu akan terjamin," katanya.


Beliau mengulas demikian dalam podcast Real Talk by Amir Hussien yang bertajuk ‘Implikasi Rombakan Kabinet’ yang disiarkan di platform YouTube.


Ustaz Mohd Fakhrulrazi berharap penstrukturan semula Kabinet MADANI yang baharu itu akan berhasil membawa perubahan segera kepada rakyat dan mereka benar-benar dapat merasainya.


"Kita kena melihat sepanjang tiga tahun tempoh pemerintahan PMX dalam Kerajaan MADANI, kita lihat banyak isu-isu yang sebelum ini tidak berjaya diselesaikan oleh kerajaan terdahulu, tapi telah berjaya diselesaikan (kerajaan sekarang) dan diperkemaskan.


"Kita kena faham PMX mengambil alih pimpinan negara dalam keadaan kita berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah seperti ekonomi, hutang yang menimbun, isu global, politik yang tidak stabil dan sebagainya.


"Pada pandangan saya, PMX juga telah berjaya menyatukan parti-parti politik dalam negara ini duduk satu bumbung untuk sama-sama memajukan negara sebab untuk menyelesaikan isu ekonomi yang menjadi tunjang masalah rakyat pada masa kini, kita memerlukan kestabilan politik terlebih dahulu," ujarnya lagi.


Rombakan Kabinet minggu lalu telah menyaksikan beberapa muka baharu dilantik sebagai menteri penuh seperti Dr Taufiq Johari, Dr Zulkifli Hasan, Datuk Seri R Ramanan, Datuk Seri Johari Ghani, Hannah Yeoh dan beberapa nama lain yang dianggap berwibawa dengan tugas utama menyelesaikan keluh kesah rakyat menuju Pilihan Raya Umum ke 16 pada 2027 kelak.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page