Rombakan kabinet: Nilai semula kedudukan menteri Umno - AMK Sabah


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menggesa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan rombakan Kabinet segera.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Zaidi Jatil berkata, gesaan itu wajar dipertimbangkan sekiranya Umno terus mengambil pendirian yang bercanggah dengan semangat kerjasama dan hala tuju Kerajaan MADANI.
"AMK Sabah menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia supaya mempertimbangkan rombakan Kabinet secara tegas, termasuk menilai semula kedudukan menteri-menteri Umno sekiranya parti tersebut terus mengambil pendirian yang bercanggah dengan semangat dan hala tuju Kerajaan MADANI
"Kerajaan Perpaduan bukan tempat untuk menikmati kuasa dan jawatan, tetapi pada masa yang sama menyerang kerajaan sendiri demi kepentingan politik kepartian.
"Perkembangan mutakhir jelas menimbulkan persoalan terhadap kesepakatan politik dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan.
Hal itu kata Zaidi, susulan terdapat beberapa pemimpin Umno yang menggesa supaya pilihan raya umum ke16 dipercepatkan. Malah pada 5 November 2026, kataya, PM Anwar sendiri menegur pemimpin parti kerajaan yang menyerang pentadbiran ketika berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sedangkan mereka mempunyai wakil dalam Kabinet.
Zaidi menyifatkan, ketegangan antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka turut memperlihatkan cabaran terhadap keutuhan kerjasama politik tersebut.
Beliau menegaskan, pihaknya menghormati pendirian rasmi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
Namun ujarnya, kesetiaan kepada kerajaan mesti dibuktikan melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan politik.
"Kita tidak menolak perbezaan pandangan, tetapi perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan kerajaan yang didukung bersama.
"Jangan jadikan Kerajaan MADANI sebagai tempat berpaut kepada kuasa, sedangkan agenda reformasi dan kepimpinan kerajaan terus dipertikaikan.
"Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kos sara hidup, infrastruktur, pendidikan serta pembangunan negara, khususnya di Sabah," katanya yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) Sabah.
Justeru, kata beliau, AMK Sabah berpandangan bahawa Perdana Menteri tidak perlu teragak-agak melakukan rombakan Kabinet sekiranya langkah tersebut diperlukan demi memperkukuh pentadbiran negara.




Comments