PH Melaka tolak rasuah, fokus tawaran pekerjaan berkualiti


Pakatan Harapan (PH) Melaka menegaskan komitmen untuk menolak rasuah dan memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat menerusi tawaran pekerjaan berkualiti serta peningkatan pendapatan, ketika memasuki hari ke-12 kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, walaupun beberapa perkembangan politik di peringkat nasional berlaku ketika kempen berlangsung, PH akan terus memberikan tumpuan kepada usaha mendekati rakyat dan menjelaskan tawaran parti.
Antara perkembangan yang mendapat perhatian ialah pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, cabaran pembubaran Parlimen oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Menurut Adly, PH akan memastikan rakyat mendapat penjelasan sewajarnya berhubung perkembangan berkenaan supaya mereka dapat membentuk pendapat sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
"Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Agung DAP, Yang Berhormat Saudara Anthony Loke, atas khidmat beliau sebagai Menteri Pengangkutan sejak Disember 2022 sehingga peletakan jawatannya semalam.
"Kesungguhan melaksanakan tanggungjawab serta pendirian beliau wajar dihormati," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Piatu, Melaka, pagi tadi.
Mengulas tawaran PH kepada rakyat Melaka, Adly berkata tumpuan utama parti adalah memastikan pembangunan ekonomi negeri diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median gaji bulanan pekerja warga Melaka pada 2025 ialah RM2,773, lebih rendah berbanding median nasional sebanyak RM2,940.
Sehubungan itu, PH mengangkat aspirasi 'Pekerjaan Berkualiti, Masa Depan Anak Muda Terjamin' bagi memastikan pelaburan yang dibawa ke negeri itu mampu menyediakan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan, pendapatan stabil dan peluang kenaikan pangkat.
"Pelaburan perlu diterjemahkan kepada jawatan yang sepadan dengan kelayakan, pendapatan stabil dan peluang kenaikan pangkat," katanya.
Beliau berkata pembangunan industri juga perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan teknikal seperti juruteknik penyelenggaraan, kawalan mutu dan automasi supaya penduduk Melaka berpeluang membina kerjaya di negeri sendiri.
Tambah latihan kemahiran
Bagi mencapai matlamat itu, Adly berkata latihan kemahiran perlu diselaraskan dengan keperluan sebenar industri, termasuk penglibatan majikan dalam mengenal pasti kemahiran diperlukan serta institusi latihan menyediakan kursus bersesuaian dan penempatan industri.
Sebagai contoh, katanya, pekerja pengeluaran boleh diberikan latihan penyelenggaraan mesin bagi membolehkan mereka beralih kepada tugas teknikal dengan tanggungjawab serta pendapatan lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan kejayaan program latihan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira jumlah mereka yang mendapat pekerjaan, kekal bekerja dan menikmati peningkatan pendapatan.
Mengenai perkembangan kempen, Adly menyeru seluruh jentera PH memperkukuh gerak kerja di semua kerusi yang ditandingi sehingga hari terakhir berkempen.
Katanya, jentera perlu memperkemas kunjungan, menyampaikan maklumat tepat dan memastikan pesanan keluar mengundi sampai kepada seramai mungkin pengundi.
Beliau turut mengingatkan pengundi yang berada di luar Melaka supaya merancang perjalanan pulang, menyemak lokasi mengundi dan menyediakan masa untuk menunaikan tanggungjawab pada Sabtu, 14 November ini.
"Ini pesanan PH, setiap undi berharga dan penyertaan tinggi diperlukan di seluruh negeri.
"Berikan mandat kepada calon Pakatan Harapan untuk membawa pentadbiran berintegriti serta khidmat yang bertanggungjawab," katanya lagi.




Comments