Rombakan Kabinet jadi ‘reset’ politik, perkukuh komunikasi kerajaan - Mahfuz
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu disifatkan sebagai 'riset politik' oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar
Beliau mengalu-alukan rombakan itu, sambil menegaskan langkah tersebut perlu dilakukan untuk memperbaiki prestasi kerajaan dan bukannya sekadar pertukaran jawatan atau imbangan politik semata-mata.
Menurut beliau, kerajaan hari ini bukan berdepan masalah kekurangan reformasi, sebaliknya kegagalan menterjemahkan reformasi tersebut ke dalam realiti kehidupan rakyat.
"Masalah sebenar ialah reform yang dibuat tidak dapat diterjemahkan dengan baik kepada kehidupan rakyat, sehingga kebaikan dasar gagal dirasai dan difahami," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut mengingatkan kerajaan agar tidak terus mengulangi kesilapan mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum matang, sebelum terpaksa ditangguhkan akibat bantahan.
"Keadaan ini bukan sahaja melemahkan keyakinan rakyat, malah memberikan peluru politik percuma kepada pembangkang untuk membina persepsi bahawa kerajaan tidak yakin dengan dasar sendiri," tegasnya.
Beliau mencontohkan isu rasionalisasi subsidi sebagai antara kelemahan dari sudut komunikasi politik walaupun dasar tersebut betul dari segi fiskal.
"Dari sudut komunikasi politik, kerajaan gagal menjelaskan siapa yang dilindungi, siapa yang selama ini bocor menikmati subsidi, dan bagaimana penjimatan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat. Akibatnya, rakyat hanya melihat harga naik, bukan perlindungan yang diberikan," ujarnya.
Mengulas kemerosotan sokongan dan kekalahan Pilihan Raya Negeri Sabah, Mahfuz menolak alasan bahawa puncanya kerana kerajaan belum cukup melaksanakan agenda reformasi.
"Itu adalah penafian terhadap kelemahan sendiri. Masalah sebenar ialah kelemahan jentera, kegagalan naratif, dan jurang besar antara elit pembuat dasar dengan realiti hidup rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan rombakan Kabinet ini perlu disusuli perubahan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk menguji reformasi dari sudut dasar, implikasi politik dan emosi rakyat sebelum diumumkan, selain menuntut menteri tampil sebagai jurucakap utama dasar kerajaan.
Beliau menegaskan rombakan Kabinet merupakan peluang penting untuk membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sahaja betul dari segi niat dan dasar, tetapi juga mampu memenangi keyakinan serta hati rakyat.





