Rombakan AMK beri peluang muka baharu tunjuk bakat kepimpinan - Akmal


Rombakan yang berlaku kepada jawatankuasa kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Selangor dan Perlis merupakan usaha untuk menonjolkan bakat baharu menerajui gerakan pemuda negeri.


Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir menjelaskan demikian dalam sidang media di Batu Pahat, pagi tadi.


Menurut beliau, kepimpinan AMK yang wujud hari ini akan melewati usia pemuda yang ditetapkan parti pada waktu pemilihan baharu AMK pada 2023 kelak.


"Jadi saya merasakan apabila berlaku keputusan Kongres KEADILAN tempoh hari, melambatkan pemilihan parti ke Mei 2023 maka pemegang jawatan perlu kekal sehingga pemilihan akan datang.


"Kebanyakan dari kami tidak lagi boleh meneruskan kepimpinan AMK (selepas pemilihan). Jadi saya kira perlu diberi ruang untuk kita kemukakan pimpinan lebih muda supaya apabila tamatnya tarikh 2023, mereka ini masih lagi boleh terlibat dalam AMK. Saya pun tak boleh jadi (Ketua AMK lagi), biarlah pelapis yang mewarisi ada tanggungjawab dari sekarang.


"Saya fikir perlu ada rombakan selepas selesai kongres. Kita tahu PRU perlu diadakan sebelum Mei 2023, jadi kita mahu tonjolkan pelapis yang lain memimpin AMK," katanya selepas membuat laporan di IPD Batu Pahat berhubung pelanggaran SOP 'kenduri makan durian' melibatkan Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon.


Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, rombakan yang sama juga akan dilakukan di peringkat kepimpinan AMK Pusat.


Mengenai soalan wartawan berhubung bantahan Ketua-ketua AMK Selangor ke atas pengguguran Ketua AMK Selangor Najwan Halimi, Akmal menjelaskan beliau telah memanggil mesyuarat AMK Selangor malam tadi dan mendengar semua kritikan.


"Saya telah selesai berjumpa dengan kesemua Ketua AMK Cabang di Selangor malam semalam. Jadi, malam semalam saya telah adakan perbincangan bagi meneliti atau menentukan kepimpinan AMK Selangor yang baru.


"Kehadiran melibatkan 18 Cabang, selebihnya yang tidak hadir itu kerana menghadapi masalah tidak menghantar laporan mesyuarat agung tahunan atau berstatus penaja.


"Jadi rundingan semalam, apabila buka ruang kepada rakan-rakan, saya ceritakan hasrat saya, pandangan saya dan saya beri ruang kepada mereka beri cadangan.


"Saya menerima 6 nama calon untuk diangkat sebagai Ketua AMK Selangor. Perkara ini saya akan teliti. Sebelum saya umum secara rasmi, saya perlu memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi KEADILAN Negeri bagi mengesahkan pelantikan tersebut," katanya.


Jelas Akmal lagi, selepas melantik Ketua AMK Selangor, beliau akan melantik Ketua AMK Perlis yang baharu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER