top of page

Rohingya, PATI: Kerajaan perlu proaktif bongkar sindiket bawa masuk

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
8 hours ago
1 min read

Kerajaan digesa proaktif membongkar rangkaian sindiket, majikan serta pihak yang mengaut keuntungan daripada kemasukan pelarian Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI).


Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pendekatan terhadap isu pelarian dan migrasi perlu melihat keseluruhan rantaian kegiatan berkenaan termasuk pihak yang menjadi dalang dan mengambil keuntungan.


Menerusi kenyataan pada Jumaat beliau menegaskan, penguatkuasaan yang hanya menumpukan hujung rantaian tidak memadai akan menyelesaikan isu yang semakin kompleks dan memberi implikasi terhadap kedaulatan negara, keselamatan, ekonomi serta kemanusiaan itu.


"Pendirian kita jelas. Yang masuk secara haram, cegah. Yang melanggar undang-undang, ambil tindakan. Yang melakukan jenayah, dakwa.


"Yang mengeksploitasi pelarian, termasuk sindiket dan pihak tempatan, juga mesti dikenakan tindakan.


"Jangan hanya kejar orang di hujung rantaian. Bongkar juga sindiket, majikan dan pihak tempatan yang mendapat keuntungan daripada kemasukan serta pekerjaan warga asing secara tidak sah," katanya.


Sementara dalam kenyataan sama beliau mengingatkan, isu pelarian Rohingya dan pekerja warga asing tanpa izin tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah sementara, sebaliknya memerlukan dasar yang jelas, tersusun dan berterusan untuk menanganinya.


"Malaysia memerlukan satu dasar pelarian dan migrasi yang jelas, tersusun, tegas serta berperikemanusiaan.


"Kita tidak boleh menanggung krisis Myanmar tanpa penghujung. Myanmar perlu memainkan peranan utama menyelesaikan punca krisis, manakala ASEAN dan masyarakat antarabangsa perlu berkongsi tanggungjawab," tambahnya.


Beliau sementara itu turut menyatakan sokongan kepada usaha pengukuhan kawalan sempadan, pendaftaran biometrik serta pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod identiti, status dan latar belakang keselamatan yang lebih teratur.

Data Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pada akhir Februari 2026 merekodkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk 193,824 warga Myanmar, dengan 126,144 darinya merupakan Rohingya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page