Roboh binaan haram perlu proses mahkamah, elak tindakan sendiri
- 3 hours ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Isu meroboh binaan haram di atas tanah persendirian tidak boleh ditafsir secara mudah sehingga menghalalkan tindakan tersebut dilakukan secara sendiri tanpa melalui proses undang-undang, terutama dalam isu pembinaan rumah ibadat yang tular kebelakangan ini.
Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun), Dr Zulqarnain Lukman (gambar) berkata, kekeliruan timbul apabila ada pihak menganggap penegasan Perdana Menteri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang membina rumah ibadat tanpa kebenaran sebagai “lesen besar” untuk mana-mana pemilik tanah merobohkan sendiri struktur haram yang dibina di atas tanah mereka.
"Kedudukan undang-undang berkaitan hal merobohkan bangunan haram ini sebenarnya tidak seperti yang difahami oleh orang ramai.
"Undang-undang berkaitan mengambil balik hak tuan punya ke atas tanah ini adalah agak rumit, ia tidak sama seperti tuan punya mengambil balik hak ke atas harta yang bukan berbentuk tanah (harta alih)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan laporan media berhubung tindakan beberapa individu merobohkan sebuah pondok rumah ibadat di Rawang, Selangor yang didakwa dibina secara haram di atas tanah milik persendirian.
Zulqarnain berkata, kedudukan undang-undang berkaitan pengambilan semula milikan tanah adalah rumit dan tidak boleh disamakan dengan harta alih seperti kenderaan.
"Harta ada dua kategori. Ada harta tak alih (immovable property) dan ada harta alih (moveable property). Untuk mengambil harta alih itu tidak sesulit mengambil harta tak alih.
"Bagi harta tak alih, proses untuk mengambil semula milikan tanah itu agak rumit. Walaupun orang itu adalah pemilik berdaftar dalam hak milik, dia tidak boleh sesuka hati bawa ‘bulldozer’ atau ‘backhoe’ dan runtuhkan rumah orang lain yang dibina atas tanah miliknya," tegasnya.
Zulqarnain menjelaskan pemilik tanah perlu terlebih dahulu mendapatkan perintah mahkamah sebelum tindakan penguatkuasaan boleh dibuat.
"Pemilik tanah perlu mendapatkan perintah mahkamah dan seterusnya memohon writ pemilikan, baharulah boleh merobohkan bangunan haram yang dibina di atas tanah itu," katanya.
Beliau merujuk Aturan 45 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang memperuntukkan bahawa penghakiman atau perintah bagi memberikan milikan harta tak alih boleh dikuatkuasakan melalui writ milikan atau perintah komital.
Mengulas hujah yang sering dipetik daripada kes Sidek Hj Muhamad & Ors v The Government of the State of Perak & Ors [1982], beliau mengingatkan bahawa walaupun mahkamah ketika itu menyatakan pemilik boleh mengambil tindakan sendiri terhadap penceroboh, pendekatan tersebut tidak digalakkan.
"Prinsip dalam kes ini sendiri menyebutkan bahawa tidak digalakkan untuk merobohkan bangunan haram kerana dibimbangi akan berlaku kekacauan akibat tindakan itu.
"Selain itu, fakta di dalam kes ini adalah tanah berkenaan melibatkan tanah kerajaan dan bukannya tanah persendirian," jelasnya.
Beliau menambah, dalam amalan sebenar, peguam jarang menasihati anak guam untuk mengambil tindakan meroboh secara terus kerana risiko implikasi undang-undang dan keselamatan.
"Adalah lebih baik mengikut cara yang telah ditetapkan di dalam kaedah mahkamah supaya nanti tidak berlaku ‘backfire’ sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.
Mengulas peranan PBT, Zulqarnain berkata Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan terhadap bangunan haram sama ada di atas tanah awam atau persendirian.
"Di bawah Seksyen 72, PBT akan mengeluarkan notis kepada pemunya tanah untuk meruntuhkan bangunan itu dalam tempoh tertentu.
"Namun, kuasa PBT untuk meruntuhkan bangunan itu secara paksa hanya akan berlaku sekiranya pemunya tidak mematuhi kehendak notis," katanya.
Menurut Zulqarnain lagi, bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul langkah sebaik baiknya adalah pemilik tanah memfailkan kes di Mahkamah bagi mendapatkan milikan kosong dan tidak membuat keputusan sendiri secara sepihak.
Perintah Mahkamah akan melindungi pemilik tanah daripada sebarang dakwa-dakwi oleh pihak yang tidak berpuas hati.
Walau pun proses Mahkamah mungkin mengambil masa tetapi kerugian pemilik tanah boleh dipampaskan menerusi tuntutan ganti rugi akibat pencerobohan.









Comments