Bekalan air Johor: Keperluan asas rakyat tidak boleh dikompromi - Pemuda PH
- 31 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa kerajaan negeri tampil memberikan penjelasan terbuka dan telus berhubung status sebenar kapasiti bekalan air negeri susulan kebimbangan terhadap gangguan semasa serta risiko jangka panjang.
Gesaan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad bersama Ketua Pemuda AMANAH Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam kenyataan sama, mereka turut menggesa Kerajaan Negeri agar mengemukakan pelan mitigasi yang jelas bagi menangani gangguan semasa dan risiko jangka panjang.
"Menjamin bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan pembangunan.
"Johor boleh terus maju sebagai hab pelaburan, namun kemajuan itu mesti berlaku secara seimbang. Hak rakyat terhadap keperluan asas seperti air bersih tidak boleh dikompromi," kata mereka.
Mereka menegaskan, pihaknya memandang serius isu yang sedang menjejaskan kehidupan rakyat di beberapa kawasan terlibat selepas media tempatan melaporkan keadaan Sungai Benut dan Empangan Machap berada pada paras kritikal sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam beroperasi pada kadar rendah.
"Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak menolak pelaburan dan pembangunan, termasuk kemasukan industri berteknologi tinggi seperti pusat data (data centre) yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
"Namun begitu, dalam situasi rakyat berdepan gangguan bekalan air, persoalan dibangkitkan dalam kalangan rakyat ialah adakah operasi industri berintensif sumber air, termasuk pusat data, masih berjalan seperti biasa ketika rakyat diminta berjimat cermat?
"Bagaimana kerajaan negeri mengimbangi keperluan industri dengan hak asas rakyat terhadap bekalan air bersih?
"Apakah pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan krisis ini tidak berulang?," soalnya dalam kenyataan tersebut.
Menurut mereka lagi, Pemuda PH Johor tidak menyalahkan mana-mana pelabur atau industri sebaliknya isu sebenar adalah berkaitan soal kecekapan dan keutamaan dalam pengurusan sumber air oleh kerajaan negeri.
"Bayangkan kawasan DUN Menteri Besar Johor sendiri terpaksa menanggung kesan gangguan bekalan air. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana perancangan dan tadbir urus sumber air negeri diselaraskan dengan kepesatan pembangunan industri.
"Pembangunan yang mampan bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan infrastruktur asas khususnya bekalan air berada pada tahap mencukupi sebelum kelulusan projek berskala besar diberikan," ujar mereka.





