top of page

KEADILAN: Reformasi, Idealisme, Perjuangan Tiga Dekad

  • 7 hours ago
  • 4 min read

Datuk Mustaffa (tengah) membentangkan sejarah perjuangan Reformasi pada Pemukiman MPN Perak 2026
Datuk Mustaffa (tengah) membentangkan sejarah perjuangan Reformasi pada Pemukiman MPN Perak 2026

Oleh: Mustaffa Kamil Ayub


(Dibentang sewaktu sesi Pemukiman MPN Perak 2026)


ULASAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) lahir daripada gelombang kebangkitan rakyat yang menuntut keadilan, reformasi dan demokrasi berikutan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2 September 1998. Peristiwa tersebut mencetuskan gerakan Reformasi, yang menghimpunkan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang untuk menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penindasan politik.


Pada tahun 1999, 4 April, gerakan Reformasi ini diterjemahkan dalam bentuk politik apabila Parti Keadilan Nasional (KeADILan) ditubuhkan, dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden pertama. KeADILan membawa agenda utama memperjuangkan keadilan sosial, kebebasan institusi kehakiman, ketelusan pentadbiran dan pembelaan terhadap hak asasi manusia. Walaupun menghadapi tekanan politik yang kuat, KeADILan berjaya menempatkan wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 bersama Barisan Alternatif (BA).


Pada tahun 2003, Parti Keadilan Nasional bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Penggabungan ini mengukuhkan asas perjuangan KEADILAN sebagai parti berbilang kaum yang menolak politik perkauman sempit dan mengangkat prinsip keadilan untuk semua rakyat Malaysia.


Perjuangan KEADILAN terus diuji dalam beberapa pilihan raya awal yang mencabar, khususnya pada PRU 2004. Namun, kebangkitan semula berlaku dalam PRU 2008, apabila KEADILAN muncul sebagai antara parti utama pembangkang, memenangi banyak kerusi dan memainkan peranan penting dalam menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional serta menerajui Kerajaan Negeri Selangor atas nama Pakatan Rakyat (PR). Kejayaan ini menandakan perubahan besar dalam landskap politik negara.


Kemuncak perjuangan KEADILAN tercapai apabila parti ini, bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU 2018, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama lebih enam dekad. Sejak itu, KEADILAN terus membawa agenda reformasi institusi, keadilan sosial, tadbir urus baik dan pembangunan negara yang inklusif. Ini dilengkapkan lagi dengan kemenangan di PRU 15, 2022, persefahaman baharu serta pelantikan DSAI sebagai Perdana Menteri ke 10 atau PMX.


Secara keseluruhannya, sejarah perjuangan KEADILAN adalah kisah tentang ketabahan melawan penindasan, keberanian menuntut perubahan, dan komitmen berterusan untuk membina Malaysia yang adil, demokratik dan berintegriti, yang telah melalui jatuh bangun perjuangan ini bersama-sama.


Tiga dekad Reformasi


Kini KEADILAN dan Reformasi telah memasuki dekad ketiga perjuangannya. Dekad pertama (1998-2008) meletakkan asas-asas penting perjuangan Reformasi dan KEADILAN, manakala dekad kedua (2008-2018) memulai lakaran terjemahan perjuangan melalui pelbagai ruang yang tercipta terutamanya melalui beberapa Kerajaan Negeri. Dekad ketiga bermula 2018 meluaskan lagi medan implimentasi Reformasi di pentas Kerajaan Persekutuan.


Sesungguhnya sepanjang perjalanan Reformasi ini, sosok Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak terpenting yang mewarnainya. Ini didukung kuat oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar. Pelbagai kalangan dengan kepelbagaian latarbelakang pengalaman masing-masing, kemudiannya melengkapkan perjuangan KEADILAN dan Reformasi yang mengukir sejarah baharu Malaysia.


Politik Baharu, Budaya Baharu


Sewaktu peluncuran KEADILAN di tahun 1999, tema utama KEADILAN adalah "Politik Baharu, Budaya Baharu". Melalui Pasukan Pembaharuan Parti (2000) ditegaskan perjuangan KEADILAN adalah suatu perjuangan yang luhur dan murni. Justeru itu satu pencanaian fikrah dan budaya parti yang berlandaskan etika keadilan, luhur dan jitu, perlu dibentuk.

Mustaffa bersama pimpinan baharu dan lama KEADILAN Perak pada Pemukiman MPN 2026
Mustaffa bersama pimpinan baharu dan lama KEADILAN Perak pada Pemukiman MPN 2026

Politik baharu dengan merujuk kepada politik nilai dengan nilai amanah, berintegriti dan berhikmah. Disaluti dengan budaya baharu politik yang mesra, "people centered" @ peduli manusia, berakhlak dan tidak angkuh.


Memugar idealisme perjuangan


1. Mengingati akar perjuangan: DEKLARASI Permatang Pauh


Sebelum kita berbicara tentang hari ini dan masa depan, kita WAJIB menoleh ke belakang — kepada kelahiran Deklarasi Permatang Pauh, 12 September 1998, yang menjadi teras dan roh perjuangan Reformasi.


Deklarasi itu mengingatkan kita bahawa perjuangan ini diasaskan atas:


Penolakan terhadap rasuah dan salah guna kuasa,

Tuntutan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,

Pembelaan terhadap hak asasi, kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,

Keyakinan bahawa rakyat adalah sumber mandat sebenar berlandaskan panduan Ilahi.


Inilah sumpah perjuangan.

Dan janji ini tidak lupus hanya kerana kita telah berada dalam kerajaan.


"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah-reformasi) sedaya upayaku".

Surah Hud: 88


2. Keadilan bukan slogan


Keadilan bukan hiasan ucapan. Keadilan ialah harga yang kita bayar dengan penjara, fitnah, kehilangan jawatan, pengorbanan keluarga dan masa depan.


Ahli-ahli KEADILAN tahu maknanya ditekan, dipandang hina. Tetapi kita tidak pernah menarik diri kerana perjuangan ini dibina dengan air mata, bukan dengan janji kosong.


3. Idealisme: api Reformasi yang tidak boleh dipadam


Ada yang bertanya: “Apabila kita sudah berada dalam kerajaan, apakah idealisme Reformasi masih relevan?”


Saya jawab: Tanpa idealisme KEADILAN akan hilang arah. Idealisme Madani dan Reformasi inilah yang menghalang kita daripada mengulangi kebobrokan masa lalu. Mengingatkan kita bahawa kuasa bukan lesen untuk menindas. Menegaskan bahawa KEADILAN lebih besar daripada individu atau parti. Ahli KEADILAN mesti menjadi penjaga api idealisme ini,

bukan pemadamnya.


4. Idealisme MADANI dan amanah ahli parti


Kerajaan dan Idealisme MADANI hari ini adalah hasil perjuangan panjang Reformasi. Malaysia Madani yang diluncurkan pada 19 Januari 2023 adalah kesinambungan Deklarasi Permatang Pauh dan agenda Reformasi. Ia bukan hadiah percuma. Ia adalah amanah berat dan perlu dimasyarakatkan Idealisme dan agenda MADANI.


Tugas kita sebagai ahli parti bukan sekadar mempertahankan kerajaan, tetapi memastikan kerajaan ini tidak lari daripada prinsip Deklarasi Permatang Pauh.


5. Lawan fitnah dengan kebenaran Reformasi


Mereka yang takut kepada Reformasi akan menggunakan fitnah dan pembohongan. Mereka mahu rakyat lupa sejarah,

mahu ahli KEADILAN hilang ingatan.


Kita lahir dari jalan raya, ceramah, penjara dan air mata rakyat. Kita lawan fitnah dengan fakta, kita jawab kebencian dengan hujah, kerana perjuangan Reformasi tidak pernah dibina atas pembohongan.


6. Keadilan untuk rakyat: janji yang belum selesai


Deklarasi Permatang Pauh mengajar kita bahawa negara ini bukan milik elit. Kekayaan negara mesti dikongsi secara adil, rakyat miskin, terpinggir dan tertindas mesti dibela.


Selagi masih ada rakyat yang lapar, anak muda tanpa peluang, selagi masih ada kezaliman walau sekecil mana pun perjuangan reformasi belum selesai.

Penulis merupakan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page