RMK13: Perkasa belia, Skim Pemilikan Rumah terbaik untuk anak muda
- Suara Keadilan
- Aug 2
- 2 min read

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional menyatakan sokongan terhadap penekanan yang diberikan kepada pembangunan belia dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dilihat sebagai satu lonjakan strategik ke arah memastikan generasi muda menjadi pemacu utama pembangunan negara.
Menurut Unit Komunikasi WARDA Nasional, sayap wanita itu menyifatkan pelbagai inisiatif yang digariskan Kerajaan MADANI sebagai bukti komitmen terhadap usaha membina generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing secara ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi sahsiah dan kesejahteraan sosial.
"Wanita Muda AMANAH menyambut baik tumpuan RMK13 terhadap pembangunan anak muda sebagai teras masa depan negara," katanya.
Antara inisiatif yang diberi perhatian khusus oleh WARDA termasuk Amanah Saham Belia, yang memberi jaminan terhadap kestabilan kewangan golongan muda; kemudahan pemilikan rumah pertama, yang membuka ruang kepada pembinaan aset dan masa depan yang lebih stabil; dan bank Masa Rakan Muda dan peluasan Kafe@Teen, yang menumpukan aspek sahsiah, kesejahteraan dan daya tahan sosial.
"WARDA berpendapat usaha ini sebagai pengiktirafan kepada anak muda sebagai rakan kongsi pembangunan negara, bukan sekadar pelapis," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, menyedari kepentingan akses kepada pemilikan rumah dalam menjamin kestabilan hidup generasi muda, WARDA turut mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi melengkapkan inisiatif diumumkan iaitu kadar faedah rendah dan tetap bagi 10 tahun pertama pinjaman perumahan; perluasan skim sewa beli (Rent-To-Own) khusus untuk golongan muda tanpa keperluan deposit awal; dan pembinaan rumah sewa milik kerajaan pada kadar rendah sebagai penyelesaian transit kepada belia yang belum bersedia membeli rumah.
WARDA percaya pelaksanaan inisiatif RMK13 secara telus dan menyeluruh mampu menjadi pemangkin kepada keyakinan dan kestabilan generasi muda dalam membina masa depan yang lebih cerah.
"WARDA yakin pelaksanaan yang telus dan menyeluruh akan menjadikan RMK13 sebagai pemacu kepada kestabilan dan keyakinan anak muda dalam membina masa depan yang lebih baik," kata kenyataan itu lagi.
Comments