RMK13 fokus kukuhkan sistem prasekolah - Fadhlina
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI bakal memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan sistem pendidikan prasekolah negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai langkah memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, inklusif dan holistik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara tumpuan utama adalah memperluas kemudahan prasekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meningkatkan akses pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.
"Tumpuan diberikan untuk pengukuhan pendidikan prasekolah. Lebih banyak kemudahan prasekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dibuka.
"Sementara dalam usaha kita meningkatkan akses pendidikan prasekolah, amat penting untuk melakukan penandaarasan bagi mengenal pasti, mempelajari dan menambah baik inisiatif sedia ada," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Hantaran itu menyusul kunjungan Fadhlina ke Tadika Bitara dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Ahad.
Tadika Bitara baru-baru ini menerima pengiktirafan Rangkaian Sekolah Bersekutu (ASPnet) daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) atas kecemerlangannya dalam pendidikan awal kanak-kanak.
"Tadika Bitara mempunyai lebih 200 orang murid ini menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti berteraskan kepada nilai-nilai penting seperti tanggungjawab memelihara alam sekitar serta amalan kehidupan lestari.
"Saya amat kagum dengan pelbagai fasiliti dan pendekatan yang digunakan di Tadika Bitara — ia benar-benar mencerminkan aspirasi pendidikan awal negara yang menekankan nilai, keterangkuman dan kesejahteraan," tambahnya,
Fadhlina menerusi hantaran sama turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UPSI atas usaha memperkukuh kolaborasi akademik serta menjadikan UPSI sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan pendidikan kanak-kanak di Malaysia.









Comments