RMK-13: Sektor pertanian perlu bertunjangkan petani kecil - Mahfuz
- Suara Keadilan
- Aug 4
- 2 min read

Sektor pertanian negara tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada ladang bidang besar yang tidak mewakili majoriti petani di Malaysia yang mengusahakan kebun secara kecil kecilan.
Sebaliknya, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar, sektor pertanian masa depan yang lebih terarah kepada konsep 'kebun kecil hasil tinggi' dengan pelbagai kaedah moden perlu diusahakan oleh petani biasa.
Hal itu, katanya, harus diberi perhatian dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru baru ini.
"Saya menyambut baik tumpuan Kerajaan dalam RMK-13 terhadap usaha menjamin keselamatan makanan negara, memperkasakan sektor agromakanan dan memodenkan bidang pertanian sebagai salah satu tonggak utama pembangunan negara.
"Langkah-langkah seperti pemodenan teknologi pertanian, peluasan ladang berskala besar, serta pendekatan rantaian nilai secara bersepadu dari ladang ke pasaran adalah suatu anjakan penting ke arah mewujudkan sektor pertanian yang berdaya saing dan mampan.
"Namun begitu, kejayaan rancangan ini amat bergantung kepada pelaksanaan yang tuntas dan bersifat menyeluruh, serta mestilah berpaksikan kepada realiti petani dan nelayan kecil yang menjadi tulang belakang industri makanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, menurut Naib Presiden AMANAH itu, kerajaan perlulah memberi perhatian khusus kepada meningkatkan keupayaan petani kecil di negara ini.
Salah satu caranya, kata beliau adalah dengan menggunakan teknologi moden dan tidak boleh hanya tertumpu kepada syarikat besar atau agropreneur elit semata-mata.
"Pengupayaan petani kecil, pekebun tradisional, penternak dan nelayan kecil mesti diupaya dan dibimbing serta dibantu agar tidak ketinggalan dalam gelombang pemodenan ini. Perlu langkah pelengkap agar petani kecil ini tidak terpinggir dan boleh menjadi sebahagian daripada rantaian nilai," ujarnya.
Selain itu, kata Mahfuz, isu tanah juga perlu diselesaikan dengan baik yang mana banyak anak muda tidak mampu mewarisi kerjaya bertani akibat isu pewarisan dan sekuriti pemilikan tanah. Kerajaan melalui RMK13 perlu meneliti perkara tersebut dengan serius.
"Kerajaan hendaklah perhebatkan kempen kesedaran untuk peladang, penternak dan nelayan menyertai skim perlindungan sosial pekerjaan sendiri yang lestari melalui PERKESO dan insurans hasil, supaya mereka tidak terus terdedah kepada ketidaktentuan pasaran dan cuaca.
"Juga penting untuk diwujudkan satu sistem pemantauan yang bebas, telus dan berprestasi tinggi bagi memastikan semua peruntukan dan dasar dilaksanakan kerajaan berkesan tanpa ketirisan atau kegagalan," katanya.
Satu lagi hal yang mengganggu, ujar Mahfuz, berkaitan rantaian bekalan yang masih dikuasai kartel.
Katanya, keadilan harga di peringkat ladang wajar dipertahankan. Perlu ada reformasi dalam sistem pengedaran dan pemborongan supaya petani mendapat pulangan adil hasil titik peluh mereka.
"Saya percaya, jika RMK-13 dilaksanakan dengan adil dan penuh kebertanggungjawaban, ia mampu melonjakkan sektor pertanian kita ke tahap baharu dan memperkukuh kedaulatan makanan negara.
"Tetapi jika ia gagal dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, ia hanya akan menjadi dokumen indah yang tidak menyentuh kehidupan sebenar rakyat di desa dan pesisir," kata Mahfuz lagi.
Comments