RMK 13 perkasa golongan rentan, wanita, anak muda - Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan

- Aug 2
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ketua Biro Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat Norhayati Umor (gambar) berkata, RMK-13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan satu pelan rancangan menyeluruh oleh kerajaan.
Dengan mengambil kira suara rakyat termasuk wanita dalam merangka dasar negara, ia menandakan permulaan fasa baharu pembangunan negara berasaskan nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan kebertanggungjawaban.
"RMK-13 disusun bukan sekadar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi turut menumpukan kepada pengagihan peluang secara saksama.
"Pemerkasaan golongan rentan, dan pembangunan bersifat menyeluruh akan memastikan tiada kumpulan dipinggirkan atau tertinggal, termasuk wanita, anak muda, warga luar bandar dan masyarakat minoriti," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu tambah Norhayati, RMK-13 membawa harapan besar kepada pemerkasaan wanita, khususnya dalam aspek ekonomi, keusahawanan, pendidikan, latihan kemahiran serta transformasi digital yang lebih inklusif.
"Antara sasaran penting ialah meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus, termasuk sokongan kepada ibu yang mempunyai anak kecil melalui penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan latihan yang bersesuaian.
"Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh institusi keluarga, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi peluang adil tanpa mengira jantina, latar belakang atau status sosioekonomi," ujarnya.
Justeru Wanita KEADILAN tegasnya terus komited untuk menjadi pemangkin dan pemantau kepada pelaksanaan dasar ini di lapangan, agar manfaat RMK-13 benar-benar sampai ke setiap lapisan masyarakat.









Comments