top of page

RMK-13: Pelan transformasi nasional bawa Malaysia menuju negara maju

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 6
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pelan strategik, inklusif dan berpandangan jauh bagi masa depan negara melalui satu proses transformasi nasional menyeluruh.


Menurut wakil rakyat Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern (gambar), RMK-13 yang dirangka berasaskan kerangka Ekonomi MADANI mampu memacu pembangunan ekonomi negara secara seimbang, adil dan mampan menjelang 2030.


"RMK-13 bukan sekadar dokumen rancangan lima tahun malah merupakan pelan transformasi nasional yang menyeluruh, meliputi pertumbuhan ekonomi, pembasmian kemiskinan, keadilan sosial dan reformasi institusi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam kenyataannya itu, Arthur memetik beberapa inisiatif penting yang telah digerakkan Kerajaan MADANI sejak mengambil alih pentadbiran pada November 2022 seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar TVET Negara 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.


Katanya inisiatif-inisiatif ini meletakkan asas kukuh kepada ekonomi negara dan memacu peralihan Malaysia ke arah industri berteknologi tinggi serta berpendapatan tinggi.


Beliau turut memuji tumpuan RMK-13 terhadap pembangunan wilayah secara seimbang menerusi pelaksanaan projek berimpak besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim (AHTV).


"Pembangunan taman perindustrian di Sabah dan Sarawak juga membuktikan bahawa kerajaan tidak lagi berpusat hanya kepada Lembah Klang, tetapi benar-benar membawa pembangunan menyeluruh ke seluruh negara," katanya.


Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Arthur menyambut baik usaha kerajaan menaikkan gaji minimum sehingga RM1,700 dan penetapan penanda aras gaji kehidupan wajar RM3,100 bagi pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC).


"Kadar kebolehpasaran 95.6% graduan TVET dalam tempoh enam bulan turut menunjukkan keberkesanan dasar pembangunan modal insan kerajaan," ujarnya.


Beliau turut menyentuh langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bagi bahan api dan elektrik serta peluasan program bantuan seperti STR dan SARA kepada lebih ramai rakyat.


"Pemberian Sumbangan Asas Rahmah secara one-off kepada semua rakyat dewasa juga mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat terbanyak," katanya.


Arthur menyatakan bahawa RMK-13 turut membawa reformasi besar dalam aspek tadbir urus, termasuk penggubalan lebih 80 undang-undang seperti Akta ILTIZAM, Akta Perkongsian Data dan Akta Kanak-Kanak.


Beliau menyambut baik penubuhan institusi baharu dan pengukuhan agensi seperti SPRM dan Jabatan Audit Negara bagi memperangi rasuah dan meningkatkan ketelusan.


Dalam pada itu, pelaburan besar untuk membaik pulih sekolah dan klinik daif, penyelenggaraan jalan serta projek tebatan banjir turut dilihat mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.


"RMK13 adalah pelan yang menyeluruh dan praktikal – bukan hanya angka atas kertas tetapi menyentuh realiti dan keperluan rakyat," katanya.


Pada 29 Julai lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat menandakan perancangan terakhir dalam Rangka Kerja Jangka Panjang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


RMK-13 memperkenalkan pendekatan baru dalam penyampaian dasar yang berpaksikan keberhasilan rakyat (people-centric outcomes) serta memperkukuh daya saing ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page