RMK-13: Kerangka baharu ekonomi hadapi cabaran digitalisasi global
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu, diyakini mampu dilaksanakan dengan jayanya sekali gus mencapai matlamat memacu kemajuan negara tanpa mengenepikan mana-mana pihak.
Keyakinan itu disuarakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young yang menyifatkan rancangan berkenaan disusun berasaskan data dan keperluan sebenar rakyat, selain didorong keazaman politik tinggi untuk melaksanakan reformasi menyeluruh.
''RMK13 mencerminkan realiti baru, bukan kesinambungan dari dasar lama. Saya amat yakin RMK-13 mampu menjadi pelan pembangunan nasional dalam konteks Malaysia pasca-pandemik, pasca-krisis ekonomi global dan menghadapi cabaran ekonomi digital.
''Ianya dilihat akan memberi penekanan kepada transformasi struktur ekonomi, keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan daya saing negara dalam dunia yang semakin mencabar.

''RMK-13 juga menzahirkan bahawa Kerajaan MADANI miliki dasar kerajaan yang bersedia, kukuh dan maju untuk lima tahun ke depan,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut David lagi, tumpuan kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berteraskan inovasi RMK-13 akan menggerakkan Malaysia lebih dekat ke arah status negara berpendapatan tinggi, dengan tumpuan kepada ekonomi digital, automasi, teknologi hijau dan sektor bernilai tambah.
Katanya, sektor seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu (renewable energy), dan bioteknologi akan menerima lebih banyak pelaburan dan perhatian.
''Sehingga kini jurang pembangunan dan sosial antara negeri seperti Sabah dan Sarawak berbanding Selangor masih ketara.
''Dengan RMK-13 ini akan dapat mengurangkan jurang tersebut. RMK-13 dijangka akan membawa lebih banyak pelaburan kepada wilayah luar bandar dan kawasan B40 termasuk melalui program pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur asas.
''Penekanan kepada pertanian moden, automasi, dan transformasi rantaian bekalan makanan dijangka menjadi agenda utama.
''Peningkatan daya tahan ekonomi dan keselamatan makanan amat penting bagi memastikan isu rantaian bekalan dan makanan akan dapat dipastikan tahap keselamatannya,'' kata David.
Mengulas lanjut, ujar beliau, agenda Kelestarian 2030 termasuk sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 jelas menunjukkan komitmen Malaysia terhadap memperkukuhkan tindakan menangani perubahan iklim demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Hal itu katanya, adalah selaras dengan usaha negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai matlamat kelestarian global.
''Sebagai reformasi institusi dan tadbir urus, pendigitalan perkhidmatan awam, pengukuhan integriti institusi, serta akauntabiliti fiskal, isu ketirisan, birokrasi, dan ketidakcekapan akan dapat ditangani dengan baik.
''Seperkara lagi adalah tumpuan terhadap generasi muda dan pendidikan masa depan.
''Fokus dilihat akan diberikan kepada sistem pendidikan yang selari dengan kemahiran masa depan, seperti kemahiran digital, keusahawanan, dan pembelajaran sepanjang hayat.
''Pembaharuan pendidikan TVET juga dijangka akan dipertingkatkan secara menyeluruh,'' katanya lagi.









Comments