RMK 13: Kerajaan tumpu tiga kebijakan utama - PM
- Suara Keadilan
- Jul 31
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar perencanaan pembangunan bersifat kebendaan semata-mata, sebaliknya merupakan iltizam moral, akhlak dan etika untuk membina sebuah negara yang adil.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan MADANI akan memberikan tumpuan kepada tiga kebijakan utama dalam iaitu memperkukuh tatakelola baik, menaikkan siling dan lantai bagi menggapai hasrat tersebut.
''Tatakelola baik menjadi paksi kepada pentadbiran negara dalam memastikan kekayaan negara diagih secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat.
''Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.
''Kedua, meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
''Peralihan ini bermatlamat memperkukuh kedudukan ekonomi negara, umpama menaikkan siling atau bumbung. Tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, terutama kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Aspek ketiga pula, menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan adalah pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk meningkatkan lantai dan darjat kehidupan rakyat.
Ujar beliau, usaha akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup dan membentuk sistem sosial negara berteraskan insan MADANI serta mempertingkatkan mutu kehidupan.
Comments