top of page

RMK-13: Isyarat jelas negara punya halatuju ekonomi, pembangunan hingga 2030

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini bukan sekadar satu dokumen dasar kerajaan, malah menjadi isyarat jelas kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia memiliki hala tuju ekonomi dan pembangunan yang menyeluruh bagi tempoh lima tahun hingga 2030.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) menyifatkan pembentangan itu sebagai satu kelebihan strategik buat Kerajaan Madani menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang dijangka dalam tempoh dua tahun lagi.


"Pembentangan RMK-13 memberikan kelebihan kepada Kerajaan Madani untuk menghadapi pilihanraya dengan dasar rasmi kerajaan yang lengkap dan terperinci bagi tempoh lima tahun akan datang," kata Hassan dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, dokumen RMK-13 yang disampaikan Perdana Menteri di Dewan Rakyat bukanlah manifesto politik semata-mata, sebaliknya satu dasar ekonomi negara yang dibentang dan diluluskan secara rasmi di Parlimen.


"Peluang PM Anwar membentangkan RMK-13 atas nama kerajaan, bukan parti politik memberi keyakinan kepada rakyat, usahawan serta pelabur tempatan dan asing bahawa ini adalah dasar negara yang sah dan kukuh," ujarnya.


Hassan berkata, rancangan lima tahun itu juga menggariskan pencapaian sosioekonomi terdahulu termasuk kedudukan Malaysia sebagai ekonomi ke-36 terbesar dunia pada tahun 2024, satu langkah ke hadapan dalam mencapai sasaran menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.


Tambahnya, RMK-13 mengandungi pelbagai strategi ekonomi termasuk 10 keutamaan kerencaman ekonomi seperti reformasi industri semikonduktor, pendidikan, pasaran buruh dan peningkatan taraf hidup golongan sasar.


"Anwar memberi tumpuan penuh kepada usaha memperbaiki kedudukan ekonomi negara. RMK-13 adalah bukti keazaman beliau untuk melaksanakan reformasi yang menyeluruh," ujar Hassan.


Beliau turut menyentuh tentang sasaran kerajaan dalam menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, namun setakat Mac 2025, hanya 179,769 unit berjaya disiapkan.


"Kerajaan sedar masih banyak perlu dilakukan untuk membaiki dasar perumahan. RMK-13 menyatakan perkara ini dengan jujur," tegasnya.


Hassan turut membandingkan pembentangan dasar RMK-13 oleh Perdana Menteri dengan desakan sebahagian rakyat yang turun ke jalanan pada 26 Julai lalu.


"Lima hari selepas demonstrasi yang menuntut PM turun, beliau tampil di Parlimen membentangkan dasar ekonomi negara secara lengkap dan menyeluruh. Persoalannya, wajarkah lagi beliau dituntut untuk berundur?" soalnya.


Justeru itu, Hassan menyeru rakyat untuk memberi ruang kepada kerajaan Madani meneruskan agenda reformasi seperti terkandung dalam dokumen RMK-13 yang menyeluruh dan boleh diukur secara objektif dalam tempoh lima tahun akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page