top of page

Reformasi institusi: Had PM dua penggal, pemisahan kuasa perlu seiring

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada dua penggal merupakan langkah memperkukuh sistem demokrasi negara bagi mengelak ketua kerajaan memerintah terlalu lama dan terbuka kepada salah guna kuasa.


Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar) berkata, reformasi tersebut bertujuan memastikan kuasa sentiasa dibatasi oleh sistem tidak sebagaimana PM sebelum ini yang terpalit pelbagai kontroversi.


"Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal adalah langkah pembinaan institusi yang melangkaui politik semasa.


"Ia adalah komitmen jangka panjang untuk memastikan kuasa sentiasa dibatasi oleh sistem, bukan bergantung kepada individu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum bahawa pembangkang mengutamakan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebagai langkah utama mengurangkan penumpuan kuasa.


"Prinsip pemisahan fungsi tersebut sememangnya penting dan wajar dibincangkan secara serius. Namun reformasi institusi tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan satu atau yang lain," ujarnya.


Beliau menjelaskan bahawa had dua penggal menyentuh dimensi masa, iaitu berapa lama kuasa boleh dipegang, manakala pemisahan jawatan pula menyentuh dimensi struktur, iaitu bagaimana kuasa diagihkan.


"Kedua-duanya memperkukuh semak dan imbang. Kedua-duanya mengurangkan konsentrasi kuasa. Dan kedua-duanya boleh dilaksanakan tanpa perlu menafikan antara satu sama lain," katanya.


Mengulas kegagalan meluluskan Rang Undang Undang mengehadkan tempoh PM selama dua penggal memperoleh sokongan dua pertiga semalam, Ker Chean berkata, perkara itu bukan sekadar isu undian semata-mata.


"Ia menyentuh mesej yang lebih besar tentang kesediaan politik kita untuk menginstitusikan had kuasa secara kekal. Sekiranya pemisahan jawatan dianggap penting, ia wajar digerakkan.


"Sekiranya had penggal dianggap penting, ia juga wajar disokong. Mengangkat satu sambil menangguhkan yang lain berisiko menjadikan reformasi sebagai agenda berperingkat tanpa kepastian," tegasnya.


Tambah beliau, reformasi institusi adalah soal legasi negara dan bukan strategi politik jangka pendek semata mata.


"Legasi itu menuntut kesepakatan pada prinsip, bukan syarat pada sokongan," ujarnya lagi.


Kegagalan meneruskan RUU semalam akibat pembangkang enggan menyokong usul berkenaan. Sedangkan Pas sejak 1998 lalu konsisten berjuang untuk mengehadkan tempoh jawatan PM sehinggalah parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015 lalu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page