top of page

RMK 12 tumpu ke arah merealisasikan negara berpendapatan tinggi



Rancangan Malaysia Ke 12 akan menumpukan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi seiring dengan jiran jiran di Asia yang semakin membangun dan kaya.


Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) Kerajaan dalam tujuan berkenaan telah menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5% setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberikan tumpuan kepada dua perkara pokok.


"Pertama, memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri yang bernilai tinggi dan menerima guna

teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran. Di samping itu, Kerajaan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan ahli akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara.


"Kedua, Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelabur dengan memperkukuh daya saing. Langkah utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah," katanya dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 (2021 - 2025) di Dewan Rakyat sesi pagi.


Menurut PM lahi, Kerajaan juga akan memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV) meliputi lima bidang. Iaitu Pembangunan HGHV 1: Industri Berasaskan Peralihan Tenaga akan digagaskan sebagai anjakan utama bagi memastikan peralihan tenaga yang saksama.


Di samping itu, katanya, bagi memenuhi peningkatan permintaan gas asli cecair (LNG) dan memastikan keterjaminan bekalan, projek penyimpanan LNG tambahan akan dibangunkan di Terminal Penggasan Semula (RGT), Pengerang, Johor.


"Langkah ini juga akan memperkukuh usaha meliberalisasi pasaran gas domestik dan menjadikan Malaysia sebagai hab

pasaran gas asli serantau," katanya.


Manakala HGHV 2 pula, kata PM, menumpukan Industri Berasaskan Teknologi dan Digital yang akan diberi tumpuan kepada pemanfaatan teknologi termaju yang merangkumi kecerdasan buatan, bahan termaju dan pengkomputeran kuantum sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.


"Saya pernah menghebahkan Agenda Digital Rakyat / Digital Native Agenda 2023 (DNA23) sebagai ikhtiar untuk memberi pendedahan dan pencerahan kepada bidang teknologi dan digital yang kritikal bagi negara.


"Hasrat saya adalah agar kefahaman dan penyertaan itu lebih menyeluruh dan penekanan mengenai transformasi digital akan merangkul semua lapisan masyarakat miskin kota, desa dan di pedalaman.


"Walhasil, kebijakan digital yang lebih inklusif akan diwujudkan untuk membangunkan infrastruktur yang kondusif, menyemak semula peraturan dan garis panduan bagi menambah baik persekitaran yang mendukung pembangunan ekonomi digital," katanya.


Berhubung industri digital, kata Anwar, pemain utama dalam sektor Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (TMK) seperti Google, Amazon Web Service, Microsoft dan IBM, serta tokoh syarikat pemula (startup) telah menyatakan minat mereka untuk mendukung usaha kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat digital tempatan yang berkemahiran tinggi.


Kejayaan yang dirintis oleh syarikat pemula seperti EasyParcel, TheLorry, Swipey dan iStore iSend, katanya, mampu diangkat sebagai teladan.


"Untuk maksud ini, satu konvensyen syarikat pemula akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi menghasilkan lebih ramai tekno-usahawan tempatan.


"Kerajaan juga telah menyediakan geran berjumlah RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf unikorn. Sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga kini," katanya.


Selain itu, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta (R&D&C&I) yang terarah merupakan satu daripada tunjang penting untuk mempercepat reformasi struktur ekonomi.


"Untuk itu, Unit Pengurusan Penyelidikan akan diperkasakan sebagai agensi tunggal bagi menyelaraskan dan

mengurus aktiviti R&D&C&I agar lebih cekap dan tuntas.


"Kerajaan menyasarkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada KDNK sebanyak 2.5%, manakala sumbangan perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan Sektor Swasta (BERD) kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) disasarkan sebanyak 70% pada tahun 2025," katanya.


Bagi HGHV 3 pula, Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) Bernilai Tinggi menjadi tumpuan. Industri E&E negara yang

menyumbang hampir 13% dalam pasaran dunia bagi pengujian dan pempakejan cip akan diperkukuh untuk beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi.


HGHV 4 melibatkan Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan komited untuk mengukuhkan kemandirian dan keterjaminan

makanan dan meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi. Kemandirian pengeluaran makanan tempatan akan ditingkatkan melalui automasi dan pendigitalan agar berskala lebih besar dan berdaya saing.


Indystri terbaharu, kata PM di bawah HGHV 5 adalah Industri Nadir Bumi yang akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif yang mampan dan mesra alam.


"Unsur ini diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik. Industri nadir bumi dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan," kata Amwar lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page