RM91.78 juta kompaun imigresen, majikan RM50 juta – Saifuddin


Sebanyak RM91.78 juta kompaun direkodkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober 2026, dengan lebih separuh daripada jumlah itu membabitkan tindakan terhadap majikan yang melakukan kesalahan imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kutipan berkenaan melibatkan 32,052 individu bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah undang-undang imigresen.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM50.04 juta membabitkan 2,459 majikan, manakala RM41.74 juta lagi melibatkan 29,593 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap majikan mewakili 54.5 peratus daripada keseluruhan kutipan, sekali gus menunjukkan tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada pekerja asing tanpa dokumen sah.
"Angka ini penting kerana penguatkuasaan imigresen tidak seharusnya hanya dilihat melalui tindakan terhadap PATI, tetapi juga melalui tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan penggajian warga asing," katanya menerusi kenyataan media.
Menurutnya, statistik berkenaan memberikan gambaran mengenai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan JIM berdasarkan tanggungjawab dan kuasa diperuntukkan undang-undang.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kutipan kompaun bukan satu-satunya ukuran keberkesanan penguatkuasaan atau penyelesaian menyeluruh kepada isu PATI.
Pastikan pekerja patuh undang undang
Sebaliknya, beliau menegaskan usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya majikan yang bertanggungjawab memastikan penggajian pekerja asing mematuhi undang-undang.
Orang ramai juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang disyaki melanggar peraturan imigresen kepada pihak berkuasa.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan sendiri kerana kuasa berkenaan hanya terletak pada agensi yang diberikan mandat mengikut peruntukan undang-undang.
"Kedua-dua prinsip ini mesti berjalan seiring. Kebimbangan masyarakat perlu diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya, sementara setiap tindakan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara sah, profesional dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Imigresen serta seluruh warga JIM atas komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.
"Syabas JIM. Teruskan penguatkuasaan yang tegas, adil dan berintegriti demi keselamatan, ketenteraman serta kedaulatan negara," katanya.




Comments