RM61 juta diluluskan tangani hakisan pantai Batu Feringgi
- Suara Keadilan
- Apr 18
- 1 min read

Peruntukan berjumlah RM61 juta telah diluluskan bagi melaksanakan projek pemulihan kawasan pantai sepanjang 7 kilometer dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, masalah hakisan di kawasan tersebut telah menyebabkan pelbagai aktiviti terutama berkaitan pelancongan terjejas dan tindakan segera perlu dilakukan.
"Justeru, kerja pemulihan akan dilakukan bagi mengembalikan daya tarikan kawasan itu," katanya dipetik.
Akmal Nasrullah berkata begitu kepada pemberita selepas membuat tinjauan hakisan pantai di Unit Nelayan Paramount di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerja-kerja pemulihan dijangka dimulakan tahun ini dan akan dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pemulihan akan melibatkan kerja penambahan pasir dan dijangka mengambil masa enam tahun untuk disiapkan sepenuhnya di bawah Pelan Rolling Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Tiga sungai utama yang mengalir terus ke laut menyumbang kepada isu hakisan serius. Projek akan melibatkan pembinaan sistem saliran keluar bagi melancarkan aliran air dari sungai ke laut.
"Kami akan pastikan reka bentuk yang dipilih tidak menjejaskan nilai estetika pantai kerana kawasan ini merupakan tarikan utama pelancong," tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan masalah hakisan di kawasan itu yang semakin membimbangkan.
Lebih menyedihkan apabila beg-beg pasir yang digunakan sebagai benteng pemecah ombak kini berselerak di sepanjang pesisir pantai.
Comments