Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan lebih RM33.59 juta kepada Sabah dalam usahanya membangun dan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan industri agromakanan di negeri itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan disalurkan itu adalah sebahagian daripada RM150 juta yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri.
"Tujuh projek pembangunan agromakanan dibangunkan di Sabah melalui peruntukan itu, yang merupakan peruntukan tertinggi disalurkan berbanding negeri lain di negara ini.
"Projek itu antara lain termasuk pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 pusat pengumpulan hasil tani, dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar. Selain itu ia juga membabitkan pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan keladi Cina.
"Peruntukan di bawah program ini disalurkan secara berperingkat kepada negeri Sabah pada 4 April dan 14 Mei lalu bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya melalui satu kenyataan.
Mohamad sementara itu yakin, peruntukkan tersebut akan memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan taraf sosioekonomi negeri ini selaras dengan usaha meningkatkan nilai kadar sara diri (SSR) dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.
Mohamad kini berada di Sabah untuk lawatan empat hari bermula Jumaat membabitkan Konvoi Jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.
Pada Sabtu beliau merasmikan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kota Belud yang menyasarkan penanaman padi di kawasan seluas 100 hektar di daerah itu.
Dipetik laporan media, Mohamad menegaskan projek model rintis menggunapakai teknologi dan cara kerja ladang terbaik seperti diamal oleh pesawah di Sekinchan, Selangor itu akan diberi pemantauan bagi meningkatkan potensi keberhasilan sekaligus menjadi pemangkin semangat kepada para pesawah di Sabah dan Sarawak.
Comments