RM311.9 juta disalur sejak 2009, Selangor terus komited bantu pendidikan
- Suara Keadilan

- Aug 14
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor terus mengukuhkan usaha memastikan pendidikan yang inklusif dan berkualiti untuk semua rakyat di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, pentadbirannya telah memperuntukkan sebanyak RM26.624 juta sepanjang tahun ini bagi program bantuan sekolah, khusus untuk membaik pulih infrastruktur sekolah.
"Peruntukan terbaharu ini meningkat sebanyak RM124,000 berbanding tahun sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sejak 2009 kini mencecah RM311.92 juta.
"Tahun ini, jumlah sekolah penerima meningkat kepada 873 berbanding 825 pada 2024 yang merangkumi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh serta lebih banyak SK dan SMK di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Insya-Allah, komitmen ini akan terus diperkukuh dengan pertambahan peruntukan dan penerima pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Amirudin sebelumnya hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2025 di Dewan Konvensyen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Bandar Bukit Raja pada Rabu.
Beliau sementara itu turut menegaskan peranan Selangor bukan sahaja sebagai pelopor ekonomi negara, tetapi juga pusat kecemerlangan pendidikan serantau dengan kewujudkan institusi seperti Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Selangor Technical Development Centre (STDC).
"Kerajaan Negeri juga membina jaringan kerjasama antarabangsa bagi memacu kemajuan akademik dan teknologi, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI)," tambahnya yang berharap bantuan disalurkan akan dapat meningkatkan kemudahan sekolah dan menyokong kecemerlangan pelajar.









Comments