RM30 juta bantu usahawan India menerusi Skim BERKAT Deepavali


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus menyediakan pelbagai bantuan bagi menyokong pembangunan usahawan termasuk dari komuniti India.
Menterinya Steven Sim (gambar) berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan menerusi skim Biaya Festival Perniagaan Rakyat (BERKAT) Deepavali bagi membantu usahawan India yang memerlukan modal pusingan dalam tempoh singkat untuk menambah stok dan membuat persediaan menjelang perayaan itu bulan depan.
Jelasnya, skim khas menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu menawarkan pembiayaan hingga RM30,000 pada kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi tempoh 12 bulan.
"Deepavali satu bulan lagi, jadi saya umumkan skim BERKAT Deepavali untuk usahawan dan peniaga kaum India.
"Kita harap usahawan-usahawan Deepavali, Bazar Deepavali, Little India boleh memanfaatkan peruntukan ini," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu menurutnya, permohonan BERKAT Deepavali dibuka hingga 8 November dan permohonan boleh dibuat menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau di pejabat cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara.
Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia daripada masyarakat India berumur 18 hingga 65 tahun.
Usahawan TEKUN sedia ada juga layak memohon dengan syarat jumlah keseluruhan pembiayaan diterima tidak melebihi RM100,000.
Sebagai rekod, KUSKOP sebelum ini turut memperkenalkan skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) Aidilfitri dengan peruntukan RM35 juta kepada 5,590 usahawan, melebihi peruntukan awal RM30 juta.




Comments