top of page

RM3.08 bilion peruntukan UiTM: Kerajaan Madani perkukuh agenda Bumiputera

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
6 days ago
2 min read
PM Anwar berucap Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam
PM Anwar berucap Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pendidikan dan pembangunan Bumiputera menerusi peningkatan peruntukan mengurus dan pembangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada RM3.08 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut beliau, UiTM mempunyai sejarah panjang hampir tujuh dekad, bermula daripada RIDA, Maktab MARA dan Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum berkembang sebagai UiTM.


Beliau berkata institusi berkenaan memainkan peranan penting dalam membuka peluang pendidikan kepada anak petani, nelayan, pesawah serta keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan keluarga.


Anwar turut mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam memperjuangkan mutu serta peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu.


"Saya turut mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub, tokoh yang begitu tegas dalam memperjuangkan mutu dan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu. Beliau juga meninggalkan teladan dalam pengurusan yang cekap, bersih dan amanah, yang mengukuhkan kehebatan ITM Jalan Othman," katanya dalam muat naik di media sosial.


Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan cadangan menamakan Kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman, selain meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi kampus berkenaan.


Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan setiap peruntukan untuk pendidikan dan agensi Bumiputera perlu diurus dengan amanah serta tidak disalahgunakan melalui salah guna kuasa, ketirisan atau amalan rasuah.


Beliau turut mencadangkan supaya alumni UiTM memilih kira-kira 10 tokoh daripada pelbagai disiplin bagi menilai program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM, serta mengemukakan teguran dan cadangan secara jujur.


"Saya meminta alumni UiTM memilih kira-kira 10 tokoh daripada pelbagai disiplin untuk menilai program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM, serta mengemukakan teguran dan cadangan yang jujur.


"Kita mesti berani mengenal pasti kelemahan sendiri jika mahu mengangkat UiTM menjadi pusat kecemerlangan akademik yang lebih unggul," katanya.


Dalam sesi soal jawab bersama alumni, beliau turut menerima pandangan berkaitan peluang pekerjaan dan gaji graduan serta isu mahasiswa daripada keluarga miskin yang masih berdepan kesukaran mendapatkan makanan mencukupi.


Anwar berkata langkah lebih tegas berkaitan isu gaji dan upah sedang diteliti dan dijangka diumumkan menerusi Belanjawan akan datang.


Beliau turut mengalu-alukan penelitian bersama berhubung persoalan tatakelola UiTM Holdings, termasuk dakwaan kerugian lebih RM100 juta, dengan kerjasama pihak alumni, pengurusan UiTM dan pejabat Perdana Menteri.


"Saya mengalu-alukan penelitian bersama pihak alumni dan pengurusan UiTM, dengan kerjasama pejabat saya. Kita perlu memperbaiki sebarang kelemahan dan mengambil tindakan jika siasatan menemukan kecurangan," katanya lagi.


Katanya, sebarang kelemahan perlu diperbaiki dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya siasatan menemukan unsur kecurangan.


Anwar berharap warga UiTM dan alumninya dapat bersama-sama mempertahankan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera, memelihara hak serta keharmonian seluruh rakyat dan memastikan institusi berkenaan ditadbir dengan bersih, berintegriti dan amanah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page